suria

Judi Internet:Polis Kedah Tahan 47 Lelaki, Rampas 225 Komputer

ALOR SETAR: Polis Kedah merampas 225 unit komputer bernilai RM225,000 dan menahan 47 lelaki dipercayai terbabit dengan kegiatan judi haram di daerah Kuala Muda dan Kota Setar di sini dalam 'Ops Dadu' sepanjang tempoh seminggu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah (Risikan dan Operasi), Supritendan Nazlan Idris berkata, dalam operasi yang bermula 31 Jan hingga Isnin sebanyak 28 serbuan telah dilakukan di kafe siber di daerah berkenaan. Beliau berkata semua yang ditahan berumur antara 20 hingga 40 tahun dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

"Ada di antara pengusaha kafe internet tidak serik dan terus menjalankan aktiviti perjudian internet walaupun premis mereka pernah diserbu pihak polis, contohnya sebuah kafe siber di Pokok Sena yang telah tiga kali diserbu.

"Pihak polis akan terus menjalankan operasi membanteras kegiatan judi internet yang semakin menular di kalangan masyarakat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, Selasa.

Dalam perkembangan lain, Nazlan berkata pihak polis ingin menasihatkan warga emas terutama yang tinggal di kawasan kampung agar berwaspada bagi mengelakkan menjadi mangsa samun dan rompak yang semakin berleluasa sekarang.

Beliau berkata sasaran perompak adalah orang dewasa dan warga emas berumur 50 hingga 70 tahun yang mudah mesra dengan individu tidak dikenali sehingga menyebabkan mereka menjadi mangsa.

"Mangsa-mangsa ragut dan rompak di kampung ini selalunya terlalu baik hati kepada orang yang tidak dikenali.

"Pihak polis ingin menasihatkan mereka supaya lebih berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali yang datang (pura-pura) bertanya arah atau datang ke rumah meminta air," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain