suria

BR1M Satu Dividen Daripada Kerajaan Bantu Ringankan Beban Rakyat:Rais

JELEBU: Wang daripada skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mula diagihkan kepada isi rumah berkelayakan sejak semalam boleh dianggap sebagai "dividen" yang disalurkan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Sambil menyifatkan bantuan tersebut sebagai "saham kasih sayang dari kerajaan", beliau berkata ia membuktikan kerajaan benar-benar serius dalam membantu rakyat sekaligus menafikan pelbagai dakwaan oleh pembangkang.

"Keikhlasan kerajaan Barisan Nasional bukan setakat dibibir ataupun teori sebagaimana pihak pembangkang menyatakan, melainkan ini adalah satu testimoni, satu sijil kerakyatan dan satu sijil kemasyarakat yang jelas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan BR1M dalam bentuk baucar tunai kepada 267 penerima yang layak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Pertang di Kampung Petaseh di sini Isnin.

Rais, yang juga Anggota Parlimen Jelebu, berkata masih ramai isi rumah berkelayakan di daerah itu belum mendaftar untuk menerima bantuan berkenaan.

Beliau berkata setakat ini hanya 8,592 isi rumah telah mendaftar berbanding lebih 35,000 isi rumah di daerah itu, manakala lebih 2,000 borang permohonan baru diterima hari ini.

"Jadi ini masih jauh dari jangkaan sebenar, kita mahu melihat Orang Asli juga masuk selain orang Melayu, Cina dan India, supaya perasaan kasih sayang (kerajaan) itu tersemat dalam sanubari rakyat kita," katanya.

Rais turut meminta pihak yang bertanggungjawab menguruskan skim bantuan itu meneliti setiap permohonan yang diterima bagi mengelak penipuan terutama berkaitan maklumat dalam borang permohonan dan dokumen yang dikemukakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain