suria

Najib Saksi MoU Antara Senai Hi-Tech Park -Solexel

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Senai Hi-Tech Park Sdn Bhd (SHTP) dan Solexel (M) Sdn Bhd (Solexel), syarikat pengeluar modul solar PV inovatif yang berpangkalan di Milpatas, California.

Perjanjian itu bertujuan membuka kilang untuk mengeluarkan sel solar silikon kristal di kawasan seluas 40 hektar di Senai Hi-Tech Park, Fasa 1 Zon Industri Iskandar Malaysia.

MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SHTP Datuk Ahmad Shukri Tajuddin dan Presiden dan CEO Solexel, Michael Wingert.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Najib yang juga Menteri Kewangan, dalam ucapannya sebelum itu berkata projek terbabit akan merangsang ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan.

"Solexel merancang mengeluarkan sel solar kristal dan modul dengan pelaburan aggregat RM 2.8 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pelaburan yang besar ini akan menyediakan 2,300 peluang pekerjaan untuk penduduk dan menjana aktiiti ekonomi di wilayah itu," kata Perdana Menteri.

Projek solar itu adalah antara sektor teknologi yang dipromosikan oleh kerajaan bagi menggalakkan industri tenaga boleh baharu dan mesra alam dalam negara yang menjadi asas untuk dasar tenaga hijau masa depan, kata Najib. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain