suria

Polis Tahan Warga Uganda Miliki 806 Gram Heroin, 15Kg Ganja

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki warga Uganda kerana memiliki 806 gram heroin dan 15 kilogram ganja bernilai kira-kira RM353,000 dalam operasi di kawasan sebuah stesen minyak di Tanah Merah, Jitra, lewat malam Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata lelaki berumur 34 tahun itu ditahan kira-kira 11.55 malam selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dengan mundar mandir sambil menggalas sebuah beg dan menjinjing sebuah lagi beg.

"Pihak polis menghampiri lelaki tersebut dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis. Ketika polis mahu melakukan pemeriksaan terhadap suspek, dia cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan. Polis berjaya menahan suspek," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua beg yang dibawa lelaki tersebut, polis menemui 15 ketulan mampat daun-daun kering yang dibalut dengan plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ganja dengan berat keseluruhan 15 kg bernilai RM53,000.

"Polis turut menjumpai 43 pellet berbalut plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin dengan berat 806 gram dalam beg galas suspek dengan nilai pasaran dianggarkan RM300,000," katanya.

Abdul Ghafar berkata heroin yang dibawa oleh suspek ialah heroin asas yang belum diproses.

"Kita sedang menyiasat dari mana suspek mendapatkan dadah-dadah itu tetapi kita percaya ia dari negara jiran. Kita juga masih menyiasat tempat tinggal suspek di negara ini," katanya.

Beliau berkata suspek disyaki anggota sindiket pengedaran dadah dan ditahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit bersalah.

"Suspek mengaku sebagai peniaga dan memiliki pasport. Dia berada di negara ini sejak bulan Mei tahun lepas dan kita tidak pasti sama ada dia ada pergi ke negara jiran atau sebaliknya kerana cop terakhir pada pasport adalah pada Mei tahun lepas.

"Kita percaya ketika pemeriksaan dibuat, suspek sedang menunggu bas untuk ke selatan tanah air," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain