suria

Suara Generasi Muda Dinanti-Nanti Pada Perhimpunan Agung UMNO 2010

KUALA LUMPUR: Generasi muda mahu suara dan buah fikiran mereka didengari pada Perhimpunan Agung Umno 2010 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga Sabtu ini bagi memastikan Umno terus relevan kepada golongan itu. Atas kesedaran bahawa bilangan pengundi muda akan meningkat dari semasa ke semasa, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata adalah penting untuk kepimpinan Umno mendengar suara generasi muda dalam menentukan dasar yang sesuai untuk mereka.

"Kita mengharapkan supaya suara muda didengari. Jika Umno dan kepimpinan Umno tidak menghayati permintaan orang muda maka sudah tentu kita tak dapat mewujudkan dasar yang mesra generasi muda," katanya.

Dianggarkan, 60 peratus daripada keseluruhan pengundi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) terdiri daripada golongan muda.

Pengerusi Kelab Umno Moscow Muhammad Akmal Saleh pula berkata Umno perlu mengetengahkan dan memberi peluang kepada golongan muda untuk menyampaikan idea-idea mereka untuk memajukan parti.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna bahawa golongan senior patut diketepikan atau disingkirkan sebaliknya mereka perlu menjadi pembimbing kepada golongan muda tersebut, katanya.

Pengerusi Kelab Umno Luar Negara California Muhammad Danial Zuraidi pula berkata suara orang muda perlu terus didengari oleh parti selepas perhimpunan agung Umno kali ini dan dilakukan melalui medium maya kerana ia merupakan medium kegemaran orang muda pada masa ini.

Memberi contoh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, beliau berkata golongan muda di Amerika telah berjaya didekati dengan hanya menggunakan medium tersebut.

"Saya nampak apa yang Obama buat pada golongan muda di sana, dia telah lakukan sesuatu yang mustahil kerana golongan belia Amerika tidak mengambil peduli langsung mengenai politik, sebenarnya mereka benci politik.

"Tapi lama kelamaan, Obama dapat menarik mereka, jadikan mereka taksub dengan politik dan apa yang digunakan adalah media maya," katanya.

Seramai 4,907 perwakilan menghadiri perhimpunan agung kali ini iaitu Wanita (793), Pemuda (795), Puteri (776) dan Perhimpunan Agung (2,543).

Perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti bermula hari ini dengan perasmian oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, manakala Perhimpunan Agung Umno 2010 akan dirasmikan esok oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

Artikel Lain