suria

Wanita Singapura Rugi RM250,000 Ditipu Teman Lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Singapura terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM250,000 akibat ditipu teman lelakinya warga Malaysia sejak awal tahun 2009 hingga April lepas.

Mangsa yang bertugas sebagai jurutera perisian dan hanya mahu dikenali sebagai Chang, 31, kini turut diburu oleh 15 buah bank akibat bebanan hutang yang ditanggungnya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Michael Chong berkata mangsa yang membuat aduan kepada biro itu semalam, dikatakan memberi wang secara tunai setiap kali teman lelakinya meminta wang daripadanya.

"Kita telah meminta peguam untuk menyelidik kes ini dan jika boleh kita mahu selesaikan perkara ini dengan membuat laporan polis dari Malaysia dan Singapura.

Difahamkan anggota keluarga dan rakan mangsa masih tidak mengetahui kejadian yang menimpa mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Suspek yang dikenali sebagai Kam K.C, 34, berasal dari Kuantan, Pahang dan berkenalan dengan mangsa ketika suspek bertugas di sebuah firma kewangan di Singapura pada tahun 2002.

Suspek kini seorang penganggur dikatakan sering meminta wang kepada mangsa atas pelbagai alasan termasuk berhutang dengan Ah Long dan kalah pertaruhan bola sepak.

Chong berkata suspek dikatakan telah pulang ke Malaysia pada April lepas, bagaimana masih tidak dapat dihubungi sehingga kini.

Sebanyak 18 kes seumpama itu telah dilaporkan di Biro Pengaduan Awam MCA sejak tahun 2006 hingga April 2010 yang membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM679,708. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain