suria

Tangani Gejala Rasuah Bagi Elak Kemarahan Rakyat, Titah Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mahu agar gejala rasuah dan salah guna kuasa dibendung dan ditangani dengan serius di Selangor.

Jika gejala itu tidak ditangani dengan serius, ia akan menyebabkan kemarahan di kalangan rakyat dan mencemar nama baik Selangor, titah baginda di upacara pelantikan lima Jaksa Pendamai dan seorang Pelukis DiRaja di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

"Kebelakangan ini banyak isu-isu yang berkaitan dengan rasuah telah diperkatakan oleh masyarakat. Rasuah bukan sahaja akan membuat Negeri Selangor ini mundur, tetapi juga akan menjadikan individu dan juga mereka yang bertanggungjawab menjadi tamak haloba dan mementingkan diri sendiri," titah baginda.

Justeru, baginda berharap Ahli-ahli Jaksa Pendamai Selangor dapat bersama-sama dengan pihak yang bertanggungjawab dalam usaha membenteras gejala rasuah.

Baginda juga menasihatkan semua Ahli-ahli Jaksa Pendamai Selangor supaya sentiasa bersifat jujur dan amanah semasa bertugas dan bekerjasama antara satu sama lain untuk mencapai kejayaan yang diharapkan.

"Beta tidak mahu mendengar rungutan di mana terdapat Ahli Jaksa Pendamai Selangor yang hanya bekerja untuk kepentingan diri sendiri, berpuak-puak, menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa yang diberikan," titah baginda.

Sambil mengingatkan semua Ahli Jaksa Pendamai Selangor bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang, baginda mahukan semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang terutama Ahli-ahli Persatuan Jaksa Pendamai Selangor yang memegang jawatan di dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

"Seharusnya mereka inilah yang sepatutnya lebih menghormati dan mempertahankan undang-undang dan bukannya mencari jalan untuk mengabaikannya atau tidak memperdulikannya," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda sentiasa memantau perkembangan Persatuan Jaksa Pendamai Selangor melalui pembacaan dan maklumbalas yang diterima daripada orang ramai.

Baginda mengucapkan syabas kepada semua Ahli Persatuan Jaksa Pendamai Selangor yang diterajui oleh Presidennya Datuk Mahamad Fathil Mahmood kerana sentiasa peka dengan masalah rakyat di negeri ini dan sama-sama berusaha untuk menjayakan program mengumpul dana serta berkongsi-kongsi idea yang bernas bagi mengatasi masalah negeri ini.

Titah baginda dengan adanya pentadbiran persatuan yang cekap, Ahli-ahli Jaksa Pendamai Selangor yang belum mendaftar supaya menjadi ahli persatuan ini kerana baginda percaya persatuan merupakan tempat untuk para ahli berkumpul bagi mencari idea-idea baru serta menyelesaikan masalah yang timbul dalam menjalankan tugas masing-masing dengan lebih berkesan. - BERNAMA

Artikel Lain