suria

Polis Tahan Tujuh Lelaki Terbabit Kegiatan Ah Long Palsu

IPOH: Polis menahan tujuh lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan "ah long" palsu yang menipu orang ramai yang ingin mendapatkan pinjaman kewangan.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata lelaki berumur antara 19 dan 48 tahun termasuk ketua sindiket itu ditahan dalam operasi sejak Oktober lepas hingga minggu lepas di Kampar, Ipoh, Kuala Kangsar serta Tangkak dan Batu Pahat di Johor.

"Polis turut merampas wang tunai RM13,000 yang dipercayai hasil penipuan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perbarisan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini Rabu.

Zulkifli berkata empat yang ditahan itu berasal dari Tangkak, dua dari Batu Pahat dan seorang dari Kuala Kangsar.

Sindiket penipuan itu dipercayai bergerak aktif sejak Mei tahun lepas dengan menampal stiker mempromosi khidmat memberi pinjaman wang kepada mereka yang memerlukan, katanya.

Zulkifli berkata mangsa yang menghubungi "ah long" itu akan diminta mendepositkan kira-kira 10 peratus daripada jumlah pinjaman ke dalam akaun bank yang diberikan sebagai alasan potongan kadar bunga atau wang memproses.

"Apabila mangsa mengikut arahan dengan mendepositkan wang ke dalam akaun bank yang diberi, anggota sindiket terbabit akan menghilangkan diri," katanya.

Zulkifli berkata polis menerima aduan dari 100 mangsa penipuan kumpulan itu sejak tahun lepas.

Polis kini mengesan seorang lelaki Sim Zeng Soon@Ah Soon, 23, beralamat terakhir di No 1082 Taman Tangkak Jaya, Johor bagi membantu siasatan kes itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi ASP Ng Swie Chait di nombor telefon 05-5452252 atau 012-3121632, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain