suria

Pelancong Malaysia Kehilangan Pasport Akibat Disamun

NEW DELHI: Keceriaan sebuah keluarga dari Malaysia yang menikmati percutian hujung tahun di India bertukar muram apabila kehilangan pasport akibat disamun di salah sebuah tapak bersejarah terkenal di Delhi semalam.

Keluarga berkenaan sedang melawat Qutub Minar, menara bata tertinggi dunia di selatan Delhi, apabila penyamun itu mencuri kantung dari beg mereka, yang berisi wang tunai dan dua pasport.

"Kami kehilangan beberapa mata wang Singapura, dua pasport dan Mykad. Empat lelaki datang dari belakang dan hanya melibas kantung itu dari beg anak saya yang digalas di belakangnya.

"Saya berada sangat hampir dengan mereka tetapi tidak sempat berbuat apa-apa kerana segala-galanya berlaku terlalu pantas," kata Tham Kuan Tha, yang pasport kepunyaannya serta seorang rakan Yee Than Rou, hilang dalam kejadian itu.

Suami beliau Lee C.F, dari Johor Baharu, berkata keluarganya tiba di Chennai pada 13 Disember dan melawat beberapa bandar raya utama di India sebelum tiba di Delhi, untuk mengunjungi beberapa tempat tumpuan pelancong sebelum pulang ke Malaysia Khamis ini.

"Kami telah melawat beberapa negara seperti Vietnam dan Thailand sebelum ini tetapi ini kali pertama insiden sebegini berlaku kepada kami. Nasib baik pasport milik saya dan anak lelaki ada dengan saya. Kami perlu pulang segera ke tanah air kerana saya kena kembali bekerja minggu depan,' kata Lee, yang bertugas dalam profesion perguruan.

Keluarga itu kini terkandas di bandar raya ini dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini membantu mereka mendapatkan sijil keluar agar mereka dapat meninggalkan India secepat mungkin. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain