Polis rampas ecstacy bernilai RM38.86 juta di P. Pinang - Semasa | mStar

Polis rampas ecstacy bernilai RM38.86 juta di P. Pinang

PULAU PINANG: Polis membongkar kegiatan sindiket dadah terbesar di negeri ini yang didalangi warga asing selepas menyerbu sebuah banglo mewah di Jalan Batu Feringghi di sini dan merampas ecstacy bernilai RM38.86 juta Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata banglo yang disewa dan dijadikan makmal memproses ecstacy oleh sindiket berkenaan diserbu sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri dan Bukit Aman kira-kira 9.30 malam berkenaan.

"Hasil risikan sejak tujuh bulan lepas itu, kita menahan empat lelaki warga Indonesia berusia antara 30 dan 40 tahun yang sedang memproses ecstacy di banglo berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati empat lelaki itu yang memang mahir dalam pemprosesan ecstacy, sering masuk ke Malaysia sejak beberapa tahun lepas.

"Kita juga percaya mereka merupakan dalang utama sindiket pemprosesan dan pengedaran ecstacy berkenaan dan dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 322,805 gram dan 49,282 biji pil disyaki dadah ecstacy bernilai RM38.86 juta," katanya.

Ayub berkata turut dirampas di rumah berkenaan adalah peralatanperalatan untuk menghasilkan pil ecstacy seperti ketuhar, alat timbang, mesin pembungkus, dulang, pewarna dan pelbagai bahan kimia.

Beliau berkata polis turut menyita wang tunai RM209,000, barang kemas bernilai RM2,000, lapan kenderaan bernilai RM1.2 juta dan dua komputer riba bernilai RM2,000 dalam serbuan berkenaan.

Katanya susulan daripada serbuan itu, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 30 dan 50 tahun di beberapa lokasi berasingan di negeri ini serta merampas 2,000 biji pil ecstacy daripada mereka.

"Tiga lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit dan dipercayai pengedar aktif di sekitar negeri ini dan negara jiran," katanya.

Menurutnya polis tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan rangkaian dadah antarabangsa dan menggunakan Pulau Pinang sebagai tempat pemprosesan ecstacy sebelum ia diedarkan di seluruh Malaysia.

Ayub berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sakibaki anggota sindiket berkenaan yang dipercayai masih berada di negeri ini.

"Kita percaya sindiket dadah berkenaan berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mengelak dikesan polis dan operasi mengesan mereka giat dijalankan," katanya.

Katanya tujuh orang yang ditahan itu kini direman sehingga 3 Nov ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam serbuan berasingan pada Selasa lepas, Ayub berkata polis berjaya menahan sepasang kekasih berusia lingkungan 20an dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM30,000 di sebuah rumah pangsa di Ayer Itam di sini.

"Pada serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, polis merampas dadah jenis ketamin seberat 2.3 kilogram, heroin (50.6 gram) dan syabu (10 gram) yang kesemuanya bernilai RM30,000.

"Kita turut merampas sepucuk pistol bersama kelopak berisi 14 butir peluru, 40 butir peluru pelbagai jenis dan sebutir bom tangan MK2," katanya.

Ayub berkata berdasarkan penemuan senjata api dan bom tangan berkenaan polis tidak menolak kemungkinan pasangan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan gangster dan keduadua suspek direman sehingga 3 November ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain