suria

Pusat karaoke dirompak di Seremban

SEREMBAN: Sebuah pusat karaoke di Taman Oakland di sini dirompak oleh dua lelaki bersenjatakan pistol tengah hari ini.

Wang tunai dan pelbagai barangan lain bernilai kirakira RM20,000 dilarikan dari pusat karaoke itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin, suspek memasuki pejabat pusat karaoke itu semasa tiga pekerjanya sedang menyusun wang tunai hasil dari perniagaan malam tadi untuk dimasukkan ke dalam bank.

"Sebaik sahaja memasuki premis itu, salah seorang dari suspek telah mengacukan sepucuk pistol jenis automatik kepada pekerja.

"Pekerja-pekerja tersebut yang terdiri dari dua lelaki dan seorang wanita kemudiannya diikat dengan wayar lektrik sebelum merampas wang tunai berjumlah RM13,000, tiga telefon bimbit, satu jam tangan dan satu rantai emas milik pekerja terbabit," katanya.

"Selepas berada di dalam pusat karaoke itu selama 10 minit, suspek bertindak keluar tetapi dalam masa yang sama, salah seorang mangsa berjaya menguraikan ikatan di tangannya lalu mengejar penjenayah di luar bangunan.

"Mangsa berani suspek kerana menyangka suspek menggunakan pistol palsu. Selepas menyedari mereka sedang dikejar, suspek melepaskan satu das tembakan yang mengenai tiang bangunan," kata Saiful Azly.

Beliau berkata suspek kemudian memasuki sebuah kereta jenis Proton Gen2 berwarna gelap yang dipercayai sedang menunggu mereka, yang dipandu oleh seorang lagi rakan mereka.

Katanya polis yakin dapat mengesan suspek tidak lama lagi kerana premis berkenaan turut dipasang dengan kamera litar tertutup. Katanya kedua-dua suspek berumur sekitar 30 dan 40an tidak memakai topeng muka.BERNAMA

Artikel Lain