suria

Zambry: "Saya Menteri Besar dilantik Sultan Perak"

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir hari ini sekali lagi menjelaskan bahawa kedudukan beliau sebagai ketua kerajaan negeri Perak adalah jelas tetapi telah cuba diberi tanggapan yang sebaliknya oleh pihak tertentu.

"Saya Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan Perak, ini proses yang jelas tetapi ada yang putar belitkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Membina Negara Bangsa peringkat negeri di sini hari ini.

Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas tentang pertanyaan peserta program berkenaan mengenai kedudukan beliau sebagai Menteri Besar dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, walaupun perkara berkenaan telah berkali-kali diperjelaskan namun disebabkan masih ada pihak yang memutarbelitkan fakta maka tanggapan wujudnya krisis perlembagaan dan undang-undang dalam proses peralihan kuasa terus didengari.

Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Perak yang baru dan Zambry dilantik Menteri Besar selepas menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila empat wakil rakyat Pakatan Rakyat, tiga mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas dan seorang menyertai Umno bulan lepas.

Ditanya kenapa Penasihat Undang-Undang Negeri Perak tidak memberi kenyataan untuk menjelaskan kedudukan daripada segi perlembagaan dan undang-undang, Zambry berkata, sebagai pegawai kerajaan, beliau terikat dan tidak boleh membuat kenyataan kepada media.

Mengenai tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, Menteri Besar berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

"Kita ada tempoh enam bulan, terpulang kepada Tuanku Sultan Perak untuk menentukan masa yang sesuai," katanya.

Kali terakhir DUN bersidang pada November tahun lalu.

Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, DUN perlu mengadakan sidang dalam tempoh enam bulan daripada sidang terakhir.

Semalam, Zambry berkata, beliau akan tetap menghadiri sidang DUN walaupun Speaker V. Sivakumar mengambil tindakan mengejut yang dianggap tidak mengikut peraturan apabila menggantung dan melarang beliau dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN.

Sivakumar yang mengetuai Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN telah mengumumkan Zambry digantung dan dilarang menghadiri sidang DUN selama 18 bulan manakala enam Exco kerajaan negeri selama 12 bulan kerana didakwa menghina DUN.

Tindakan Sivakumar itu dipertikai pelbagai pihak termasuk Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menganggap keputusan jawatankuasa berkenaan tidak boleh dikuatkuasakan selagi tidak disahkan di sidang Dewan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain