suria

Selangor beli 15 Toyota Camry bernilai RM2.36 juta

SHAH ALAM: Exco Kerajaan Negeri Selangor sebulat suara memutuskan untuk membeli 15 buah kereta jenis Toyota Camry 2.4 setelah mengambil kira beberapa aspek antaranya kos penyelenggaraan kereta Proton Perdana yang dikatakan terlampau tinggi.

"Jumlah kos penyelenggaraan Proton Perdana daripada tahun 2006 sehingga November 2008 telah menelan belanja sebanyak RM694,735.55," menurut kenyataan yang di keluarkan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor, semalam.

Terdapat juga kereta Proton Perdana yang baru berusia tiga tahun tetapi sering mengalami kerosakan gear dan terpaksa ditukar kotak gear sebanyak dua kali dalam masa dua tahun dengan melibatkan kos yang tinggi, kata kenyataan itu.

"Oleh itu kerajaan negeri telah mengambil keputusan membeli 15 kereta Toyota Camry 2.4 dengan kos RM2.36 juta dengan tempoh jaminan selama tiga tahun," menurut kenyataan itu.

Setiap unit Toyota Camry dibeli oleh kerajaan negeri dengan harga RM157,074.89 setelah mendapat diskaun sebanyak RM10,000 setiap sebuah, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain