suria

Ahli perniagaan mengaku tiidak bersalah tipu RM700 ribu

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan syarikat pembinaan melibatkan RM700,000, enam tahun lepas.

M.Amdan Rajeae, 49, didakwa menipu Mah Siew Sian, 47, untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan projek pembinaan 5,000 unit kuarters guru di seluruh negara dari Kementerian Pendidikan Malaysia, sedangkan mengetahui ia adalah tidak benar.

Perbuatan Amdan itu telah mendorong Mah menyerahkan sejumlah RM300,000 sebagai pembayaran projek melalui dua keping cek.

Bagi pertuduhan kedua, Amdan turut memperdayakan Mah untuk menyerahkan RM50,000 bagi mendapatkan projek yang sama melalui sekeping cek sebagai bayaran untuk membeli Syarikat Keranamu Development Sdn Bhd.

Dia turut menghadapi pertuduhan yang sama, iaitu menipu Mah dengan mempercayai boleh mendapatkan projek penubuhan syarikat penerbangan nasional kedua dan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Ipoh.

Perbuatan itu telah mendorong Mah untuk menyerahkan RM350,000 melalui tiga keping cek sebagai komisien melalui Syarikat Marlis Travel & Tours Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Blok C, Lot 2450, Off Jalan Lapangan Terbang Subang, Kelana Jaya, dekat sini, antara bulan Julai 2002 hingga 2 Dis 2002.

Bagi kesemua kesalahan itu, Amdan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Majistret Ho Kwang Chin menyebut bagi pihak Hakim Aslam Zainuddin yang mempunyai urusan rasmi di Putrajaya, mengarahkan kes ini disebut semula Isnin depan bagi menetapkan ikat jamin dan melantik peguam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain