suria

Toyota Camry dibeli ikut sebut harga - MB Selangor

KUALA SELANGOR: Keputusan kerajaan Selangor membeli 15 kereta Toyota Camry untuk kegunaan rasmi anggota exco dan pegawai kanan kerajaan negeri minggu lepas dibuat berdasarkan sebut harga yang dihantar oleh syarikat kenderaan, UMW Toyota dan bukannya menerusi tender terbuka.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kenderaan itu dilihat lebih praktikal dan stabil disebabkan harganya ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

"Kerajaan negeri telah memanggil wakil beberapa syarikat kenderaan termasuk UMW Toyota serta Proton bagi membolehkan kerajaan negeri menilai kosnya termasuk daripada segi penyenggaraan sebelum membuat pilihan bagi menggantikan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif yang digunakan sebelum ini.

"Selepas meneliti semua sebut harga syarikat kenderaan terbabit, maka pihak kami mengambil keputusan untuk membeli Toyota Camry atas faktor kos dan penyenggaraan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gotong Royong Serentak Negeri Selangor di Taman Sentosa, Bestari Jaya dekat sini, hari ini.

Program gotong-royong yang julung-julung kali diadakan itu akan tertumpu di kawasankawasan bawah jagaan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sekitar Selangor.

Khalid berkata penyerahan 15 unit kereta Toyota Camry itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi kegunaan 10 anggota Exco Kerajaan Negeri dan tiga pegawai tinggi kerajaan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Kereta Proton Perdana V6 Eksekutif yang digunakan sebelum ini akan dijual menerusi sistem tender terbuka dengan penilaiannya dibuat oleh Jabatan Kerja Raya, katanya yang enggan mengulas mengenai bilangan kereta Toyota Camry yang diterima setakat ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain