suria

16 tahun dalam jaminan polis, ahli perniagaan dilepas tuduhan tipu RM1.68 juta

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan yang berada dalam jaminan polis selama 16 tahun, dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu melibatkan RM1.68 juta.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan terhadap Marjohan Hussin, 62, berikutan dua saksi utama dalam kes ini telah meninggal dunia.

Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong memohon kepada mahkamah agar melepas tanpa membebaskan tertuduh berikutan dua saksi iaitu pengadu yang juga mangsa, meninggal dunia pada Julai lepas manakala kakaknya pula meninggal dunia empat tahun lepas.

Selepas mangsa membuat aduan pada 25 Februari 1992, Marjohan kemudiannya ditangkap dua hari kemudian tetapi dibebaskan dengan jaminan polis.

Marjohan yang didakwa pada 15 Julai lepas, sepatutnya dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah ke atas semua tuduhan dengan pihak pendakwaan mengemukakan 22 saksi.

Mengikut pertuduhan, Marjohan didakwa menipu ahli perniagaan, On Ah Kow, 64, dengan memperdaya supaya mempercayai tertuduh boleh mendapatkan kelulusan bagi kawasan membalak di bekas kawasan Malayan Veneer (K.S.N) Hutan Simpan Labis, Lingkongan Kerja Paloh, Kluang, menyebabkan mangsa menyerahkan RM1.6 juta.

Marjohan didakwa melakukan kesalahan itu di no 154 Jalan SS 6/12, Kelana Jaya, antara Mac 1990 hingga Disember 1990.

Bagi pertuduhan kedua, Marjohan didakwa menipu mangsa bahawa dia boleh mendapatkan kelulusan bagi permohonan lesen atau permit mengeluarkan saki baki kayu di kawasan Latihan Tentera di Mukim Jementah dan Gemas, Johor.

Akibat perbuatan itu, mangsa telah menyerahkan wang sebanyak RM80,000 kepada tertuduh di alamat No 4, Jalan SS 5A/11 Taman Sea Port, Kelana Jaya di sini, 18 Jun 1990.

Bagi kesemua kesalahan itu, Marjohan yang diwakili peguam A. Dhaliwal, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usah larang anak berpeluh

Artikel Berikut

Artikel Lain