suria

Sepupu: Shaiful beria mahu lakukan banyak perkara semalam

KUALA LUMPUR: Sepupu kepada Shaiful Khas Shahrudin yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di sekitar Bukit Antarabangsa pagi tadi terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa.

Norain Zaaba, 20, berkata, beliau amat terkilan kerana walaupun mendengar jeritan mangsa meminta tolong tetapi tidak berupaya untuk berbuat apaapa sehinggalah jeritan Shaiful Khas tidak kedengaran lagi.

Norain, pelajar Universiti Teknologi Mara di Seri Iskandar, Perak berkata, sebelum itu, Allahyarham menjemputnya pada pukul 8.30 malam.

"Selepas tiba di rumahnya, Shaiful Khas mengajak saya bermain komputer tetapi saya menolak dan mengatakan kami boleh main esok tetapi dia tetap mendesak.

"Jadi saya main sekejap sampai pukul 1.30 pagi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Norain berkata selepas itu, Shaiful Khas mendesak pula untuk mengambil gambar berdua dengannya tetapi beliau menolak kamera yang dipegang Allahyarham sambil mengatakan perkara itu boleh dilakukan esok kerana beliau hendak solat.

Pada ketika itu, kata Norain, dia berasa hairan dengan tingkah laku Shaiful Khas yang kelihatan beria-ria mahu melakukan semua perkara seolah-olah tiada esok baginya.

Selepas itu, katanya, Shaiful Khas masuk tidur kira-kira pukul 2 pagi.

Setelah beberapa ketika, Norain terdengar suara mangsa meminta tolong dan ketika membuka pintu bilik, beliau nampak runtuhan pasir dan tanah yang mengalir seperti air.

"Saya nampak Shaiful Khas menerusi satu lubang tetapi saya tak boleh masuk untuk menolongnya tetapi terus mendengar jeritan beliau meminta tolong sehingga jeritan itu lenyap," katanya.

Norain berkata, pada pukul 4.30 pagi, jiran dari kondominium paling hampir dengan rumah pak ciknya, Datuk Shahrudin Adnan, datang memberi bantuan.

"Pada pukul 4.45 pagi, semasa memanjat tingkap untuk selamatkan diri, saya nampak (timbunan) tanah dan pasir lebih tinggi daripada bumbung rumah," katanya.

Sementara itu, kakak kepada Shaiful Khas, Shamala, 33, seorang pengembara sepenuh masa yang baru tiba dari Laos kelihatan begitu sedih dan lemah sehingga terpaksa dipapah keluar dari pintu pagar bilik mayat HKL.

Shaiful Khas adalah antara tiga orang yang dilaporkan terkorban setakat 10.30 pagi tadi dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama pada 4 pagi tadi.

Seorang doktor haiwan, S. Yogeswari, 40, turut maut semasa cuba menyelamatkan anaknya Thidesh, 10, dalam suasana gelap di rumah mereka akibat terputus bekalan elektrik. Seorang lagi mangsa yang terkorban ialah akauntan, Eng Yee Peng, 30.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain