Pelihara Integriti Proses Pilihan Raya - PM - Rencana | mStar

Pelihara Integriti Proses Pilihan Raya - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengajak semua pihak supaya terus memelihara integriti proses pilihan raya demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Ketika mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat ke-12 di Putrajaya, perdana menteri berkata semua parti politik yang memilih untuk terlibat dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab.

Beliau meminta semua parti kerajaan atau pembangkang memberi komitmen untuk menghormati keputusan yang akan dibuat rakyat kelak dan memastikan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berjalan dengan aman dan selamat.

Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat, dan amalan demokrasi kekal serta berjaya selama ini di Malaysia, kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.

"Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing, maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya," katanya.

Najib berkata semua pihak harus mengambil iktibar daripada pengalaman negara lain yang mendapat kesan buruk ekoran taktik buruk yang dilakukan pihak-pihak tertentu dalam memilih kepimpinan negara.

"Insaflah dan ambillah iktibar daripada apa yang telah berlaku di negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai.

"Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat," katanya.

Perdana menteri memberi jaminan kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya.

"Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri, ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib," katanya.

Najib dalam pada itu berkata kebugaran proses demokrasi di Malaysia berjaya menyediakan asas yang subur dan stabil serta kemakmuran nasional yang dinikmati warga negara ini sejak lebih lima dekad yang lepas.

"Kerajaan yang dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi sarwajagat.

Selain itu, katanya, amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia.

"Hakikatnya perbezaan pendapat, idea atau pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah jika ditangani dan diurus secara baik, sejarah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

PAS Serah 3 Kerusi Kepada PKR

Artikel Berikut

Pembangkang Siap Sedia Hadapi PRU-13

Klik

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

Artikel Lain

Gempar juruterbang kesan UFO bentuk cerut