Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi - Klik | mStar

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

SK Kitabu, Sabah kini berwajah baharu.

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha untuk memperbaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

Malah setakat ini, 1,200 sekolah yang dalam keadaan usang sudah dibaik pulih dan sedia untuk digunakan, selain ada yang sedang dalam proses dibaik pulih serta menunggu kelulusan untuk memulakan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan semula.

Bajet yang diperuntukkan setiap tahun kepada kementerian itu digunakan untuk melakukan proses tersebut.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas memberitahu sebanyak RM1.98 bilion telah digunakan setakat ini untuk membaiki atau membina semula 600 sekolah.

Perangkaan dari kementerian menunjukkan bahawa sejumlah 534 sekolah di seluruh Malaysia terlibat dalam Projek Pembinaan Semula dan Menaik Taraf Sekolah Daif dari 2016 hingga 2018, dengan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion.

"Kami mahu memperbaiki keadaan di semua sekolah ini dan kami memerlukan wang yang sama untuk membaiki baki 600 sekolah lagi.

"Mudah-mudahan, kita dapat memperbaiki keadaan di semua sekolah ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya.

Kebanyakan sekolah ini kata Mohd Ghazali terletak di Malaysia Timur dan ada di antaranya sedang dalam proses pengubahsuaian sementara yang lain telah pun siap.

Struktur kayu lama pada bangunan SK Sg Selidap, Birngor, Sarawak yang telah usang telah diganti sepenuhnya.

Mohd Ghazali berkata, kebanyakan sekolah-sekolah ini yang terletak di Sabah dan Sarawak di mana lokasinya sangat jauh, selain ada di antaranya tidak mudah diakses.

"Mereka juga berada di kawasan luar bandar dan sekolah ini ada yang dibina daripada kayu lebih 50 atau 60 tahun lalu," katanya.

Tambah beliau, struktur kayu tidak dapat bertahan lama di kawasan tropika tanpa penyelenggaraan berterusan.

Tidak hanya di Sabah dan Sarawak, negeri di Semenanjung iaitu Kelantan dan Pahang juga terdapat banyak sekolah daif yang perlu dibaiki.

Mohd Ghazali berkata kementerian menerima sejumlah besar peruntukan bagi tujuan memperbaiki sekolah usang dan daif.

Bagaimanapun katanya, sebelum ini tiada satu sistem yang boleh menentukan sekolah mana yang perlu diberi perhatian.

Bagi menyelesaikan masalah itu, Mohd Ghazali memberitahu pihaknya telah membuat sistem skala iaitu dari satu hingga tujuh dalam menentukan keadaan sesebuah sekolah yang perlu dibaiki.

"Tujuh adalah skala paling kritikal seperti yang ditentukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Skala itu boleh jadi untuk keseluruhan bangunan dan bukan seluruh sekolah," jelasnya.

Belajar dalam kelas yang selesa boleh meningkatkan daya tumpuan pelajar. 

Beliau berkata, sekolah yang dinilai pada skala paling maksimum akan menerima bantuan segera berbanding sekolah-sekolah daif yang lain. Ia baharulah diikuti sekolah yang dinilai pada skal enam, lima dan sebagainya.

Sehingga kini kata beliau, terdapat lebih daripada 100 sekolah dinilai pada skala tujuh sementara bakinya berada di kedudukan keenam.

"Buat masa ini, kami berusaha memperbaiki dan membina semula sekitar 600 sekolah dan kami akan bekerjasama dengan pihak lain dalam masa terdekat," katanya.

Kementerian Pendidikan turut menerima RM400 juta dalam Bajet 2019 bagi tujuan penyelenggaraan sekolah.

Mohd Ghazali memberitahu peruntukan tersebut turut digunakan untuk kerja-kerja menyelenggara bangunan di sekolah usang sehingga mereka menerima peruntukan untuk kerja pembaikan atau pembinaan semula.

Tambah Mohd Ghazali, sekolah-sekolah tersebut akan dinilai berdasarkan faktor keselamatan bangunan sama ada ia melibatkan penempatan bilik darjah termasuk kemudahan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Kami membuat keputusan berasaskan maklum balas daripada JKR dan juruteknik kami selain pemantauan secara visual," katanya sambil memberitahu kerosakan secara tiba-tiba atau bangunan miring yang jelas ia adalah struktur tidak selamat memerlukan perhatian segera.

"Tidak mengapa jika kerosakan berlaku semalam, sebab itu kita mempunyai peruntukan kecemasan untuk kerosakan akibat banjir atau ribut.

Mudah-mudahan, kita dapat memperbaiki keadaan di semua sekolah ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

DATUK DR MOHD GHAZALI ABAS

KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA 

"Adalah logik untuk membina semula bangunan yang telah disahkan tidak selamat oleh JKR dan bukannya sekadar membaiki sahaja," jelasnya lagi.

Kementerian Pendidikan kata Mohd Ghazali memerlukan bantuan dan sokongan orang ramai terutamanya sektor korporat dalam menjayakan proses pemulihan dan membina semula sekolah usang di seluruh Malaysia.

Kata beliau, walaupun kementerian menerima peruntukan terbesar pada belanjawan negara setiap tahun, wang itu sebenarnya perlu dibahagikan ke pelbagai sektor dalam kementerian itu.

Jelasnya, sekolah-sekolah daif ini yang kebanyakannya tidak selamat digunakan oleh pelajar perlu dibaiki dalam kadar segera.

Oleh itu, kementerian melancarkan Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah Kerajaan dan Institut Pendidikan Tinggi Awam.

"Kerajaan akan terus memperuntukkan wang (untuk memperbaiki sekolah usang) tetapi jumlah yang diperlukan mungkin lebih tinggi. Oleh sebab itu, kami telah menyediakan platform untuk industri dan orang ramai menghulurkan sumbangan," katanya.

Mohd Ghazali berkata, sumbangan itu boleh disalurkan kepada sekolah-sekolah tertentu yang dipilih oleh penderma. Sebagai contoh, seseorang boleh menyumbang dan khusus untuk bekas sekolahnya dan kementerian akan melaksanakan amanah itu.

Malah katanya, penderma juga boleh menyatakan sumbangan itu digunakan untuk membaiki tandas atau membina tanjakan untuk kegunaan pelajar kurang upaya.

Pegawai kementerian membuat pemeriksaan di salah satu sekolah di SK Sg Setiam, Bintulu, Sarawak.

Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia kita harus memastikan masyarakat terpinggir seperti di kawasan luar bandar dan OKU mendapat manfaat sebaiknya.

Mohd Ghazali berkata, respons terhadap dana itu setakat ini masih rendah disebabkan baharu sahaja dilancarkan tambahan pula masih belum ramai menyedari tentang kewujudannya.

Beliau menggalakkan lebih ramai orang untuk tampil dan memberi sumbangan kepada dana tersebut.

"Badan korporat juga akan menikmati pengecualian cukai," katanya sambil menambah ia adalah insentif bagi menggalakkan derma yang lebih besar.

Beliau juga memberitahu kementerian akan turun padang bertemu persatuan ibu bapa dan guru, pemimpin masyarakat, universiti dan pihak berkepentingan lain dalam memberi informasi mengenai keperluan dana dan bagaimana mereka boleh menyumbang ke arah itu.

"Dana itu tidak terhad kepada sekolah yang daif sahaja. Sebaliknya sekolah baharu juga perlu mempunyai tabung untuk membolehkan mereka mengekalkan infrastruktur," katanya.

Institusi pengajian tinggi awam juga boleh mendapat manfaat daripada dana untuk kegunaan sama, kata Mohd Ghazali. Beliau menegaskan bahawa semua sekolah akan mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, terdapat banyak sebab lain berlakunya keadaan ini sehingga boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan.

Ini termasuklah faktor usia sekolah itu sendiri yang ada di antaranya sudah mencecah ratusan tahun, selain bahan digunakan ketika pembinaan seperti kayu tidak tahan dengan cuaca di negara ini.

Itu belum termasuk struktur sekolah yang berada dalam keadaan bahaya disebabkan bencana alam.

Papan yang menjadi dinding di SK Nibong Pitas, Sabah bakal mengalami transformasi tidak lama lagi.

"Sekolah yang masih baharu akan menjadi usang dan tidak selamat disebabkan bencana alam yang sering terjadi termasuk banjir setiap tahun," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama.

Beliau juga berkata, kementerian telah menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk menaik taraf atau membina semula bangunan sekolah yang telah usang.

IBS adalah kaedah pembinaan yang mana komponennya dihasilkan dibawah keadaan terkawal, sama ada di kilang atau di tapak, diangkut dan dipasang di lokasi menggunakan pekerja.

Antara tujuan menggunakan sistem ini adalah untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, memudahkan reka bentuk, mengurangkan masa pembinaan serta mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing. Ini katanya, membawa kepada penjimatan kos.

Walaupun pendekatan IBS lebih murah dan lebih cepat berbanding kaedah pembinaan konvensional, ia tidak boleh digunakan dalam semua situasi kerana perlu mengambil kira faktor geografi kawasan tersebut.

"Kami juga masih menggunakan teknik pembinaan konvensional menggunakan bata dan sebagainya," tambah Mohd Ghazali.

Sebanyak 452 sekolah usang telah siap dan sudah digunakan sejak 2016 hingga kini. Sementara baki 82 lagi masih dalam pembinaan dan 65 lagi sekolah akan siap menjelang akhir tahun ini.

Kerajaan memperuntukkan RM128 juta pada 2019 untuk membina semula 43 sekolah yang usang - lapan di Semenanjung Malaysia, 32 di Sarawak manakala tiga di Sabah.

Sehingga kini, salah satu sekolah di Semenanjung telah menerima Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), 37 sedang dibina dan yang lain masih berada di peringkat pemerolehan.

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain