AKSI dua lelaki yang seolah-olah kerasukan menari dalam sebuah majlis perkahwinan, menjadi tular di media sosial.
Menerusi perkongsian video di laman TikTok, suasana majlis bertukar panik apabila keluarga dan tetamu kelihatan cuba membantu menenangkan dua lelaki berkenaan yang merupakan bapa dan anak saudara kepada pengantin perempuan.
Kedua-duanya dilihat menari sambil menikmati lagu dan memejamkan mata, dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Video tersebut meraih lebih 1.9 juta jumlah tontonan sehingga kini, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya ingin mengetahui lebih lanjut tentang insiden berkenaan.
Salah seorang pemain dram, Heri, yang terlibat dalam acara berkenaan menjelaskan bahawa kejadian tersebut bukanlah sebahagian daripada tradisi.
"Ia bukan tradisi, ia adalah perkara yang tidak disengajakan. Yang dirasuk adalah bapa pengantin perempuan dan anak saudara pengantin," ujarnya kepada media tempatan.
Tambahnya, video tersebut dirakam ketika majlis perkahwinan yang berlangsung pada 30 Disember tahun lalu, di Dusun Cikujang, Sumedang, Jawa Barat.
Majlis perkahwinan berkenaan diadakan mengikut adat Sunda.
"Ketika itu lagu Buhun Sunda dimainkan. Ya, lagu Buhun Sunda itu dipercayai menjemput arwah nenek moyang mereka," kata Heri. -Agensi