DUA beradik terpaksa menyimpan mayat ibu mereka di rumah selama hampir seminggu akibat masalah kewangan, sebelum pihak berkuasa campur tangan. Menurut polis, ibu mereka meninggal dunia minggu lalu selepas jatuh sakit. Kedua-duanya yang berusia 25 tahun dan 22 tahun dari Secunderabad, Telangana, India, itu tidak mampu untuk membayar kos pembakaran mayat ibu mereka. Segala-galanya terbongkar selepas jiran-jiran mula menyedari bau busuk dari rumah mereka dan melaporkan perkara tersebut kepada polis. Pegawai polis kemudian menguruskan pemindahan mayat ke hospital untuk proses bedah siasat pada Jumaat. Sebelum campur tangan pihak berkuasa, adik-beradik tersebut dilaporkan telah memohon bantuan dari pentadbiran tempatan untuk menyelesaikan kos pembakaran mayat ibu mereka. Difahamkan, bapa mereka telah meninggalkan keluarga pada 2020 selepas berlaku perselisihan faham, menyebabkan keluarga tersebut kehilangan sokongan kewangan. Siasatan lanjut mengenai insiden ini sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.