suria

Hakim cipta sejarah wanita berhijab pertama di mahkamah New Jersey, angkat sumpah dengan al-Quran pemberian nenek

Kahf yang berasal dari Syria mengangkat sumpah pada 21 Mac. Foto: Muslim Mirror

SEORANG peguam wanita, Nadia Kahf dilantik menjadi hakim pertama yang tampil memakai hijab di Mahkamah Tinggi New Jersey, Amerika Syarikat (AS).

Nadia, seorang peguam undang-undang keluarga dan imigresen yang berpangkalan di Wayne, akhirnya mendapat peluang berkhidmat sebagai hakim di mahkamah tinggi selepas setahun menunggu.

Kahf yang berasal dari Syria, mengangkat sumpah pada 21 Mac, dengan menggunakan kitab suci al-Quran yang diterima daripada neneknya selepas dicalonkan ke jawatan baharunya itu.

"Saya bangga mewakili masyarakat Islam dan Arab di New Jersey, Amerika Syarikat. Saya mahu generasi muda melihat bahawa mereka boleh mengamalkan agama mereka tanpa rasa takut dan bahawa mereka boleh menjadi diri mereka sendiri.

"Kepelbagaian adalah kekuatan kami, ia bukan kelemahan kami," kata Kahf semasa majlis angkat sumpah.

Ketika berusia 2 tahun, Nadia Kahf meninggalkan Syria dan berpindah ke AS.

Beliau mempunyai pengalaman lama berkhidmat dalam institusi Islam seperti ahli lembaga pengarah Council on American-Islamic Relations di New Jersey sejak 2003.

Salah satu masjid terbesar di New Jersey iaitu Pusat Islam Daerah Passaic, diketuai oleh Kahf.

Beliau berkhidmat sebagai penasihat undang-undang untuk Wafa House, sebuah organisasi yang berpangkalan di Clifton yang menyediakan perkhidmatan sosial dan tempat perlindungan untuk mangsa penderaan rumah tangga.

Akhbar Insider New Jersey menyenaraikan Kahf sebagai antara orang Islam terkemuka pada 2020 yang berpengaruh dalam kerajaan, undang-undang dan politik, agama, keadilan sosial dan bidang lain.

Walaupun Kahf bukan wanita Islam pertama yang berkhidmat sebagai hakim negeri, beliau adalah yang pertama memakai tudung kepala di kamar mahkamah. - Muslim Mirror

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain