suria

Squid Game 'terbocor' nombor telefon, lelaki dakwa diganggu tanpa henti siang dan malam!

NOMBOR telefon yang 'tertiris' dalam salah satu babak Squid Game. — Agensi

DRAMA Korea popular dan tular ketika ini, Squid Game turut tidak terlepas daripada dilanda kontroversi.

Seorang lelaki di Korea Selatan didakwa diganggu gara-gara nombor telefonnya didedahkan dalam episod pertama drama terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Squid Game’ pecah rekod drama Korea paling popular selepas seminggu ditayangkan... trending no 1 di banyak negara termasuk AS

ARTIKEL BERKAITAN: Dilapor meninggal dunia akibat serangan jantung, Seo Yo Sook akan ambil tindakan undang-undang

"Selepas Squid Game ditayangkan, saya menerima panggilan dan mesej tanpa henti sehingga menyukarkan saya menjalani kehidupan seharian.

"Ini adalah nombor telefon yang saya gunakan selama lebih daripada 10 tahun, jadi saya sangat terkejut. Ada lebih 4,000 nombor yang saya terpaksa padam daripada telefon saya dan mereka menelefon saya siang serta malam tanpa henti sehingga bateri telefon saya habis.

"Pada mulanya saya tidak tahu puncanya tetapi rakan-rakan saya memberitahu nombor telefon saya muncul dalam Squid Game dan barulah saya menyedarinya selepas itu," kata lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu.

Dalam episod pertama drama tersebut, setiap peserta akan mendapatkan kad nama. Mereka perlu menelefon nombor pada kad berkenaan bagi memasuki permainan berbentuk 'survival' itu.

Malangnya, pasukan produksi Squid Game hanya mengaburkan kod kawasan atau tiga digit pertama nombor telefon tersebut.

Dalam pada itu, pasukan produksi Squid Game iaitu Siren Pictures dan Netflix belum memberikan kenyataan rasmi berhubung isu terbabit.

Namun, seorang wakil Netflix mendedahkan mereka sedang menyelesaikan masalah tersebut.

"Ketika ini, Netflix dan Siren Pictures menyedari masalah berkenaan. Kami akan cuba menyelesaikan perkara itu," kata wakil pasukan produksi Squid Game yang turut tidak didedahkan identitinya. — Detik

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain