suria

Sehidup semati! Kembar seiras Jepun diiktiraf paling tua di dunia

KEMBAR seiras, Sumiyama dan Kodama bersama sijil mereka yang mengiktiraf pasangan kembar tertua di dunia. — Agensi

ADIK-BERADIK perempuan warga Jepun yang dilahirkan pada tahun 1913 diiktiraf sebagai kembar tertua di dunia, menurut Guiness World Records.

Perkara itu disahkan pada Isnin apabila pasangan kembar seiras Umeno Sumiyama dan Koume Kodama, yang berusia 107 tahun dan 300 hari pada 1 September, menjadi pemegang rekod baharu.

Kedua-duanya kini tinggal di pusat penjagaan yang berasingan dan diberikan sijil yang menunjukkan pencapaian mereka.

“Sumiyama menangis ketika melihat sijil itu, manakala Kodama tidak dapat memahami kandungan dan kepentingan sijil itu kerana masalah ingatan,” kata kakitangan pusat penjagaan.

Pemegang gelaran sama sebelum ini meninggal dunia pada usia 107 tahun, dan ia diwarisi oleh Sumiyama dan Kodaman yang hampir menjejaki usia 108 tahun pada kira-kira dua bulan akan datang.

Sumiyama dan Kodama adalah antara 13 ahli keluarga yang dilahirkan di Pulau Shōdo di Jepun.

Pasangan kembar seiras itu sering dibuli dan setelah menamatkan sekolah rendah, mereka terpisah berikutan Kodama pergi merantau mengikut ayah saudara mereka.

Sepanjang hayat mereka, pasangan itu tinggal sejauh 300 kilometer dan hanya bertemu satu sama lain ketika acara keluarga seperti perkahwinan dan pengebumian.

Namun, setelah berusia 70 tahun, mereka mula melakukan beberapa perjalanan bersama.

Sumiyama dan Kodama juga mengikuti jejak pemegang gelaran Guinness World Records, yang direkodkan individu dari Jepun.

Individu tertua yang masih hidup adalah Tanaka Kane berumur 118 tahun dan manakala Jiroemon Kimura meninggal dunia pada 116 tahun 54 hari. — People

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

kembar, Jepun, rekod

Artikel Berkaitan

Artikel Lain