suria

Makin terancam! Sengatan lebah madu bunuh 63 penguin Afrika

PENGUIN Afrika berada dalam senarai merah International Union for Conservation of Nature, dan berdepan risiko kepupusan yang tinggi. — AGENSI

SEBANYAK 63 ekor peguin Afrika ditemukan mati akibat diserang sekawan lebah madu Cape Town yang dipercayai menyengat mata haiwan terancam itu.

Kejadian itu berlaku di luar Cape Town, Afrika Selatan, di mana kumpulan penguin berkenaan ditemukan mati pada hari Jumaat.

Menurut jurucakap Yayasan Afrika Selatan untuk Pemuliharaan Burung Pesisir, kawanan lebah itu dipercayai menyengat penguin berkenaan berulang kali.

"Siasatan terhadap 63 bangkai penguin itu mendapati tiada kecederaan selain sengatan, sementara sejumlah lebah juga mati," katanya pada Ahad.

Doktor haiwan klinikal untuk yayasan itu, David Roberts juga berkata, pihaknya mendapati lebah-lebah berkenaan turut menyengat mata penguin.

"Ini adalah kejadian yang sangat jarang berlaku. Kami tidak menyangka perkara seumpama ini akan terjadi dan ia adalah kebetulan.

"Terdapat juga lebah mati di tempat kejadian," ujarnya.

Tambah Roberts lagi, penguin Afrika tidak boleh mati begitu sahaja kerana spesis berkenaan di ambang kepupusan.

Penguin Afrika berasal dari Simon's Town, sebuah bandar kecil berhampiran Cape Town.

Kawasan tersebut mempunyai taman negara, dengan lebah madu Cape merupakan sebahagian daripada ekosistem di sana.

Taman Negara Afrika Selatan memaklumkan bahawa burung-burung itu dibedah siasat dan sampel juga dihantar untuk ujian penyakit dan toksikologi.

Menurutnya dalam satu kenyataan, tiada kecederaan fizikal luaran yang ditemui pada mana-mana burung.

"Bedah siasat menunjukkan semua penguin mempunyai sengatan lebah," jelas kenyataan itu.

Penguin Afrika, yang mendiami pantai dan pulau-pulau di Afrika Selatan, berada dalam senarai merah International Union for Conservation of Nature, yang bermaksud ia berdepan risiko kepupusan yang tinggi. — Agensi

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Artikel Lain