suria

"Kamera makan tuan..." Aksi bahaya pemandu mabuk dirakam 'dashcam' sendiri

TANGKAP layar video menunjukkan David Leahy melanggar papan tanda ketika memandu dalam keadaan mabuk.

SEORANG lelaki 'ditangkap' memandu dalam keadaan mabuk oleh dashcam atau kamera papan pemuka kenderaannya sendiri, mengakibatkan dia dikenakan hukuman larangan membawa kenderaan.

David Leahy dari Falcon, England melakukan perbuatan itu pada 12 Ogos lalu di Jalan Gloucester apabila dia melanggar papan tanda, melawan arus dan melanggar sebuah kereta yang sedang berhenti.

Malah dia juga didapati memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan.

Perbuatan lelaki berusia 56 tahun itu dikesan orang awam yang kemudiannya membuat laporan kepada polis dan mengekorinya ke rumah.

Anggota polis yang tiba beberapa minit kemudian melakukan pemeriksaan dan mendapati rakaman video kamera papan pemuka itu menunjukkan setiap perbuatannya itu.

Leahy dikenakan hukuman 12 minggu penjara dan dilarang memandu selama 30 bulan selain didenda £576 serta membayar ganti rugi atas kerosakan yang dilakukannya.

Anggota polis yang menahan Leahy, Wayne Carhart berkata rakaman video tersebut menunjukkan pesalah kehilangan kawalan kenderaannya dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Tiada alasan untuk perbuatan ini kerana ini boleh memberi kesan yang sangat buruk kepada kehidupan orang lain," katanya. — Agensi

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

David Leahy, dashcam, mabuk

Artikel Lain