suria

Akhirnya saintis jumpa manfaat kulit durian

SAINTIS di Singapura akhirnya berjaya merungkai manfaat kulit durian. — Reuters

SIAPA sangka kulit durian mampu memberi manfaat kepada manusia walaupun memiliki duri yang tajam?

Manfaat itu dirungkaikan oleh sekumpulan saintis di Singapura yang mendapati kulit durian boleh menjadi pembalut gel antibakteria, sekali gus bakal menyelesaikan isu pembuangan kulit raja buah itu.

Saintis di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menjalankan uji kaji dengan menguraikan serbuk selulos daripada kulit durian selepas ia dicincang dan disejuk beku.

Kemudian ia dicampurkan dengan gliserol, menyebabkan campuran itu menjadi hidrogel yang lembut dan seterusnya dikerat menjadi kepingan-kepingan pembalut luka.

"Di Singapura, kita makan sekitar 12 juta biji durian setahun. Maka selain isinya, kita tidak dapat berbuat apa tentang kulitnya dan ini menyebabkan pencemaran alam sekitar," kata Pengarah Program Sains Makanan dan Teknologi NTU, Profesor William Chen.

Tambahnya, teknologi yang sama boleh digunakan untuk sisa makanan lain termasuk kacang soya dan bijirin, menjadi hidrogel.

Berbanding pembalut konvensional, pembalut organo-hidrogel itu mampu membuatkan bahagian sekeliling luka berasa sejuk dan lembap, sekali gus mempercepatkan penyembuhan.

Pasukan penyelidik berkata, penggunaan bahan buangan dan yis dalam pembuatan pembalut antibakteria sangat menjimatkan dari segi kos berbanding pembuatan pembalut konvensional sedia ada di pasaran, yang melibatkan bahan antimikrobial daripada kompaun metalik seperti ion perak atau tembaga.

Seorang penjual durian, Tan Eng Chuan, berkata, dia menguruskan sekurang-kurangnya 30 tong durian dan jumlah itu bersamaan 1,800 kilogram.

Katanya menerusi penggunaan bahagian buah yang dibuang ia menjadi satu inovasi yang bersifat lestari. — Agensi

​​​​​​​[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Artikel Berkaitan

Artikel Lain