suria

Pesakit Covid-19 dapatkan konsultasi doktor melalui WhatsApp

PROGRAM WhatsApp membantu penduduk di Aceh, Indonesia mendapatkan nasihat doktor mengenai Covid-19 secara percuma. — AGENSI.

MENYEDARI tanggapan skeptikal penduduk setempat yang takut untuk mendapatkan rawatan di hospital, sepasukan pakar perubatan di Aceh, Indonesia mengambil inisiatif memperkenalkan program konsultasi mengenai Covid-19 secara percuma menerusi WhatsApp yang dikenali sebagai Program WhatsApp.

Ketua Persatuan Respirologi Indonesia (PDPI) cawangan Aceh, Dr Ferry Dwi Kurniawan berkata, bukan sahaja kemudahan perubatan dan rawatan yang tidak mencukupi di hospital, malahan majoriti penghidap Covid-19 juga dilaporkan telah mengalami simptom kritikal sebelum sempat mendapatkan rawatan di peringkat awal, lapor Al-Jazeera.

Dia memberitahu, keadaan pandemik yang semakin teruk terutama di Aceh juga berpunca dengan sikap skeptikal masyarakat ekoran khabar angin tentang hospital.

"Kebanyakan mereka mempunyai berfikir jika ke hospital, kemungkinan mereka akan disuruh pulang kerana sudah penuh atau keadaan penyakit akan bertambah teruk. Malah ada yang takut untuk ke hospital kerana khabar angin yang menular tentang perkara itu.

"Oleh yang demikian kami melaksanakan inisiatif dengan menggerakkan Program WhatsApp yang membolehkan penduduk setempat untuk berhubung dengan doktor, mendapatkan rundingan dan panduan sekiranya dijangkiti virus Covid-19," katanya.

Tambahnya, program itu masih lagi dalam fasa percubaan. Dia juga menasihati antara 15 dan 20 pesakit setiap hari melalui perkhidmatan tersebut..

Jelasnya, dia menangani semua jenis masalah daripada jenis ubat atau suplemen yang perlu diambil oleh pesakit hingga merangkumi soalan yang lebih praktikal termasuk jumlah masa yang harus mereka habiskan untuk kuarantin.

Program WhatsApp yang dilancarkan pada 26 Julai lalu itu melibatkan 12 doktor dari seluruh Aceh yang menempatkan lebih daripada lima juta orang dan terletak di puncak pulau barat Indonesia, Sumatera.

Para doktor yang semuanya ahli pulmonologi adalah sukarelawan yang telah bersetuju untuk menjalankan perkhidmatan perundingan sebagai tambahan kepada beban kerja biasa mereka.

Kurniawan turut menambah, waktu perundingan doktor buat masa ini hanya beroperasi pada Isnin hingga Jumaat antara pukul 8.30 pagi dan 4 petang. Namun, terdapat sebahagian doktor yang tetap memberikan khidmat nasihat di luar waktu tersebut.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kami juga menghargai para doktor yang ingin memberikan nasihat percuma dan mereka sangat bersemangat dengan pelancaran perkhidmatan ini.

"Kami juga berharap ia dapat melibatkan doktor dan kakitangan dari klinik kesihatan tempatan untuk mengikuti skim ini dan bukan terhad dalam kalangan ahli pulmonologi sahaja," ujarnya.

Sementara itu, menurut pasangan suami isteri, Hambal M Zain dan Azlinda yang menghidap Covid-19 Julai lalu memberitahu, mereka telah menghubungi Kurniawan untuk mendapatkan rundingan dan memaklumkan perkembangan terkini tentang status kesihatan mereka.

"Program ini sangat membantu kami suami isteri dalam tempoh untuk melawan penyakit ini. Kurniawan juga banyak membantu memberikan nasihat dan memantau perkembangan kami dari masa ke masa," kata Azlinda.

Dalam pada itu, pembuat filem dokumentari yang berpusat di kota Lhokseumawe, Nasier Husen memberitahu, Program WhatsApp sangat penting di Aceh.

Ini berikutan katanya, ramai yang mengasingkan diri atau mengesyaki mereka mungkin dijangkiti Covid-19 sering berusaha menyembunyikannya kerana khuatir dengan stigma dan salah faham mengenai risiko jangkitan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Indonesia, pandemik, Covid19, whatsapp

Artikel Lain