Tindakan bijak kanak-kanak 2 tahun selamatkan nyawa ibu... berjaya “unlock” telefon bimbit dan minta bantuan

Tindakan bijak Sophia (kanan) berjaya menyelamatkan nyawa ibunya, Samantha. Foto: BNPS

BARU berusia dua tahun, namun siapa sangka, tindakan bijak kanak-kanak perempuan ini berjaya menyelamatkan nyawa ibunya.

Pada mulanya, ibu kanak-kanak perempuan berkenaan, Samantha Mizen, 28, pengsan di rumah mereka di Poole, Dorset akibat diserang gastroenteritis.

Kanak-kanak tersebut, Sophia, pula berfikir yang ibunya sedang cuba bermain dengannya.

Namun selepas menyedari ada perkara yang tidak kena sedang berlaku, Sophia lantas mencapai telefon bimbit dan meletakkan ibu jari Samantha untuk membuka papan kekunci telefon.

Kanak-kanak itu membuka aplikasi Facebook Messenger dan menghubungi neneknya, Debbie melalui panggilan video.

Dia turut menghalakan kamera telefon bimbit ke arah wajah ibunya untuk memberitahu keadaan yang sedang berlaku kepada neneknya itu.

Debbie yang tinggal 160 batu dari Dorset, terus membuat panggilan kecemasan 999 dan turut menghubungi suami Samantha.

Sebuah ambulans tiba untuk membawa Samantha ke hospital.

Dia kini telah pulih sepenuhnya.

"Sophia sangat mengagumkan dan saya terfikir apa yang akan berlaku sekiranya dia tidak membuka kunci telefon saya," kata Samantha. - Metro.co.uk

Artikel Lain