Dua hari tak jumpa, gelagat dua BFF cilik berpelukan buat netizen cair - Dunia | mStar

Dua hari tak jumpa, gelagat dua BFF cilik berpelukan buat netizen cair

Reaksi Maxwell dan Finnegan berpelukan di jalan raya selepas dua hari tidak bertemu menarik perhatian netizen.

MOMEN bertemu dengan sahabat karib atau BFF selepas terpisah seketika memang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Begitulah situasi dilalui dua sahabat karib ini apabila tidak bertemu antara satu sama lain selama dua hari.

Video gelagat dua si cilik ini yang berlari kemudian berpelukan di jalan raya menarik perhatian netizen.

Maxwell dan Finnegan masing-masing berusia dua tahun, dikatakan tidak boleh berenggang antara satu sama lain dan amat rapat.

Bapa Maxwell, Michael Cisneros berkongsi momen indah tersebut dekat kediaman mereka di New York City di Twitternya.

"Hari Khamis. Mereka berdua tidak bertemu sejak Selasa. Ramai terharu. Ia momen indah. Amat bersyukur," tulis Michael.

Finnegan dan Maxwell turut berkongsi hobi yang sama.

Michael turut mendedahkan dua kanak-kanak lelaki itu turut berkongsi hobi yang sama iaitu menghadiri kelas muzik dan mereka turut suka menari.

"Mereka akan bertanya mengenai satu sama lain sekiranya jarang bertemu," katanya.

Video berdurasi 38 saat itu turut menunjukkan telatah kanak-kanak itu yang sempat ketawa dan menjerit 'yayyyy' sebelum berpelukan sesama sendiri.

Seorang pengguna Twitter berkata:"Gelagat mereka membuatkan saya cair. Jika orang dewasa boleh berkelakuan begitu, mesti dunia pasti aman."

Dnesey Armour menerusi twitternya berkata: "Tengok banyak kali pun tak kisah. Mereka nampak comel sangat!". - Metro.co.uk

BFF , berpelukan

Artikel Berikut

Artikel Lain