suria

Jemaah menangis, hujan turun membasahi bumi Arafah ketika kemuncak haji

Jemaah bersyukur saat tangan menadah air yang jatuh dari langit. Foto: AFP

JAM menunjukkan sekitar pukul 2.45 petang waktu Arab Saudi. Jemaah haji seluruh dunia, sedang berdiam diri di dalam khemah masing-masing, berdoa melaksanakan wukuf di Padang Arafah.

Setelah cuaca panas terik sepanjang mengerjakan ibadat haji dengan suhu sekitar 40 hingga 49 darjah celcius, tiba-tiba berlaku perubahan cuaca di Arafah yang jarang-jarang dibasahi hujan.

Dari dalam khemah, mulai terdengar bunyi petir menyambar di langit dan awan menghitam.

Tidak lama kemudian rintik hujan pun turun, membasahi bumi Arafah. Semakin lama semakin lebat, disertai dengan angin kencang.

Hujan rahmat mengiringi kemuncak haji di Arafah. Foto: AFP

Beberapa jemaah haji dari khemah nombor 28, dilihat bergegas menuju pintu khemah, seolah-olah tidak percaya yang hujan turun di ketika ibadah wukuf dilaksanakan, lapor Liputan6.

Jemaah bersyukur saat tangan menadah air yang jatuh dari langit. Hujan rahmat mengiringi kemuncak haji di Arafah.

“Hujan ini menyejukkan kita, menghantarkan kesejukan kepada kita," ucap jemaah haji Indonesia bernama Efa Ariani.

Dia terus berdoa, tak peduli hujan membasahi pakaiannya.

"Ini kali pertama saya datang melakukan ibadat haji, dan ia sangat menakjubkan," kata jemaah Ghada Al-Johar kepada Arab News.

“Apabila hujan, saya keluar dan menangis. Setiap kali saya melihat hujan turun semasa haji di TV pada masa lalu saya selalu fikir betapa bertuahnya mereka.

“Salah seorang rakan saya datang ke sini tahun lalu dan dia suruh berdoa untuk datang, jadi saya melakukannya… dan di sini doa saya telah dimakbulkan,” katanya.

Seorang lagi jemaah, Syafruddin memberitahu bahawa salah satu waktu mustajab untuk berdoa adalah ketika hujan.

Justeru dia mengajak jemaah lain berdoa untuk diri sendiri, keluarga dan seluruh umat Islam lainnya.

Hujan turun sekitar 30 hingga 45 minit. Rintik air tidak lagi terlihat walaupun bunyi petir masih kedengaran.

Untuk rekod, hujan memang kerap memberi kejutan ketika fasa wukuf di Arafah.

Tahun lalu hujan turun pada tanggal 8 Zulhijah, tetapi kini ketika jemaah wukuf, memetik detik.com

Jemaah menganggap hujan ketika wukuf sebagai rahmat, ini kerana suhu udara ketika hujan tidaklah seterik hari-hari biasanya.

hujan, Arafah, wukuf, suhu, haji

Artikel Lain