suria

Menteri kecewa rakyat tempah piza di London kemudian 'dihantar' guna pesawat

RAKYAT Nigeria menggunakan penerbangan British Airways untuk 'menghantar' tempahan piza mereka dari London, dedah Menteri Pertanian negara itu.

Audu Ogbeh, 71, berkata rakyat Nigeria menggunakan telefon bimbit mereka untuk mengimport piza dari London.

Perkara itu didedahkan ketika beliau memberi sepatah dua kata pada mesyuarat Jawatankuasa Senat Pertanian di Abuja.

Menyifatkan tabiat itu sebagai menjengkelkan, Ogbeh meluahkan kebimbangan mengenai pengimportan barangan melebihi eksport negara itu.

"Mereka beli di London, mereka bawa ia menggunakan British Airways pada waktu pagi dan mengambilnya di lapangan terbang.

"Ia situasi yang menjengkelkan dan kita perlu bertindak cepat untuk menangani perkara ini," katanya.

Audu Ogbeh.

Kerajaan Nigeria sedang cuba untuk menyekat pengimportan barangan yang dikatakan terlalu tinggi dan menjejaskan negara.

"Negara ini adalah sebuah negara pengimport. Pencungkil gigi setiap tahun menelan belanja AS$18 juta manakala kos pes tomato pula AS$400 juta.

"Sementara itu, sebakul tomato kurang daripada n2,000. Para petani kehilangan wang kerana pemproses tidak mempunyai cukup dana untuk mendirikan kilang," katanya.

Netizen memberikan reaksi berbeza mengenai tindakan membeli piza kira-kira 4,000 batu jauhnya dari London.

"Untuk perhatian @British_Airways, mengapa anda tidak beritahu kami anda menjalankan khidmat penghantaran piza ke Nigeria? Adakah terdapat aplikasi untuk ini?," tanya seorang pengguna media sosial dalam nada berseloroh. - Metro.co.uk

piza, British Airways

Artikel Lain