suria

Ditemui selamat selepas hilang dalam hutan, pembungkus snek jadi petunjuk jejak dua beradik

Leia Carrico (kiri) dan Caroline Carrico hilang di luar kediaman mereka di Sacramento, California. Foto Humboldt County Sheriff

DUA beradik perempuan, berusia lima dan lapan tahun yang hilang di dalam hutan berhampiran kediaman mereka, ditemui selamat.

Leia Carrico, 8, dan adik perempuannya berumur lima tahun, Caroline Carrico kali terakhir dilihat di luar rumah mereka di Benhow di Sacramento di California, Amerika Syarikat pada petang Jumaat lalu.

Kedua-dua mereka hilang selepas berjalan ke sebuah hutan di utara California.

Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan secara besar-besar termasuk pihak polis yang berusaha menjejaki dua beradik itu.

Pasukan penyelamat menemui dua kanak-kanak itu ditemui kira-kira 1.6 kilometer dari rumah mereka.

Ketua polis Humboldt County, Syerif William Honsal berkata, Leia dan Caroline ditemui dalam keadaan selamat berdasarkan kemahiran survival yang dipelajari mereka dalam kelab anak muda.

"Ia merupakan satu keajaiban," kata William.

Pasukan penyelamat menjejaki mereka selepas menemui tapak but di kawasan hutan, termasuk pembungkus snek granola.

Sherif Mike Fridley berkata, ibu mereka baru saja membeli snek, membuatkan mereka turut membawa makanan itu bersama sebelum dilaporkan hilang.

"Kami menemui beberapa petunjuk pada waktu siang yang membolehkan kami mengubah haluan," katanya kepada SF Gate.

"Kami menjumpai beberapa pembungkus snek granola dan disahkan daripada ibu mereka yang ia dibeli beberapa hari lalu.

"Kesemua pembungkus itu menunjukkan kami haluan dari mana mereka bermula kepada di mana berakhirnya pembungkus itu," katanya.

Polis memberitahu, kawasan tersebut agak curam dengan hutan yang tebal, sekali gus disifatkan satu keajaiban apabila dua kanak-kanak itu ditemui selamat. - Mirror UK

Artikel Lain