suria

Budak lima tahun potong rambut sendiri selepas ditertawakan, diugut Momo

SEORANG budak perempuan berusia lima tahun bertindak memotong rambutnya sendiri selepas diarahkan seorang pengodam permainan atas talian Momo Challenge ketika dia sedang menonton rancangan kartun popular, Peppa Pig.

Sam Bar, 25, menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak masing-masing selepas anak perempuannya, Jemma menjadi sasaran pengodam Momo Challenge.

Ibu tersebut percaya Jemma telah dipengaruhi penggodam tersebut selepas anaknya itu memberi amaran yang menyeramkan kepadanya.

"Biarkan salah satu mata terbuka ketika anda sedang tidur!."

Kebanyakan kanak-kanak yang menonton rancangan kartun popular menjadi sasaran Momo sehingga ada yang diarahkan untuk mencederakan atau membunuh diri.

Sam dari Cheltenham berkata:"Saya rasakan anak perempuan saya berjaya dipengaruhi Momo.

"Syukur dia hanya memotong rambutnya, ia mungkin boleh jadi lebih teruk," katanya.

Sam mendedahkan insiden terbaharu membabitkan Momo pada pagi Selasa.

Sam membawa Jemma ke salun rambut untuk memperbaiki rambutnya yang sudah dipotong.

"Hari bermula tidak seperti pagi normal yang lain. Saya berada di bilik air manakala Jemma di bilik tidurnya. Dia senyap jadi saya pergi terus ke biliknya.

"Jemma berdiri di tengah bilik dengan memegang gunting. Rambut berada di merata-rata tempat. Rambutnya sudah dipotong. Saya menangis dan terus kecut perut."

Sam bertindak memeriksa CCTV di rumah kerana pada mulanya percaya mungkin ada penceroboh menyelinap masuk ke rumahnya.

"Saya duduk di sisi Jemma, saya tanya mengapa dia memotong rambutnya. Saya terus terkedu apabila Jemma memberitahu Momo mengarahkannya untuk berbuat demikian," katanya.

Menurut Sam, Jemma memberitahu Momo mahu semua orang botak dan mentertawakannya kerana berambut panjang.

"Dan Momo mengugut untuk mencederakan Jemma jika dia tidak memotong rambutnya.

"Ia amat menakutkan untuk memikirkan apa yang didedahkan kepadanya. Buat masa ini, Internet sudah dimatikan sepenuhnya di rumah kami," kata Sam. - Metro.co.uk

Momo Challenge, gunting, rambut

Artikel Lain