suria

Padah heret bangkai kucing di jalan, penunggang motosikal dicekup

PUKUL kucing kemudian diheret bangkainya, itulah perbuatan kejam yang dilakukan dua lelaki di Wilayah Pekalongan, Jawa Tengah baru-baru ini.

Perbuatan penunggang motosikal dan pemboncengnya dirakam oleh pemandu kereta iaitu Diefie Hafiez Maufalia ketika melalui kawasan Wiradesa di wilayah itu.

Visual berkenaan tular di media sosial hingga mendapat perhatian polis.

Bagaimanapun Diefie Hafiez tidak berani menegur perbuatan itu kerana bimbang akan dikasari.

“Pembonceng motosikal yang mengheret kucing itu tetapi saya tidak pasti sama ada kucing berkenaan masih hidup atau sudah mati,” katanya.

Polis berjaya menahan seorang suspek yang dikenali sebagai ML, 29, berdasarkan semakan nombor plat motosikal, bagaimanapun rakannya dapat melarikan diri.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai memukul hingga mati kucing berkenaan sebelum mengheretnya.

Beberapa media tempatan melaporkan, ML mendakwa dia terdengar ‘satu suara’ yang memintanya mendera kucing itu.

Pihak berkuasa percaya suspek mempunyai masalah mental dan tidak percaya dakwaannya.

Sehingga kini suspek kedua masih diburu pihak berkuasa. -jateng.tribunnews.com


Diefie, Pekalongan

Artikel Lain