suria

Apple, Google dikritik tawar aplikasi kesan gerak geri wanita Saudi

APPLE dan Google berdepan kritikan kerana menawarkan aplikasi yang membolehkan lelaki di Arab Saudi mengesan serta menyekat pergerakan wanita, lapor agensi berita Xinhua.

Aplikasi dikenali Absher, menawarkan perkhidmatan yang boleh "menyemak profil individu atau ahli keluarga, pekerja dan menawarkan pelbagai jenis eServices dalam talian." 

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berkata beliau akan menyiasat perkara itu.

"Saya tidak pernah mendengarnya. Tetapi kita akan siasat," katanya kepada stesen radio tempatan.

Absher mempunyai keistimewaan untuk individu dan perniagaan yang mempunyai lebih 11 juta pengguna, menurut laman web Kementerian Dalam Negeri Saudi.

Aplikasi itu direka sebagai portal e-kerajaan dan e-perkhidmatan, termasuk permohonan pasport, sijil kelahiran, pendaftaran kenderaan atau dokumentasi lain.

Ia dikatakan membolehkan lelaki Saudi mengesan serta menghalang wanita yang ingin ke luar negara.

"Kami menyeru Apple dan Google menilai risiko pelanggaran hak asasi manusia terhadap wanita dan cuba kurangkan risiko itu," kata Amnesti Antarabangsa dalam satu kenyataan kepada Washington Post.

Penyelidik kanan Pemerhati Hak Asasi Manusia mengenai hak wanita, Rothna Begum berkata aplikasi itu "benar-benar direka untuk lelaki. Sudah tentu, ia cuba melanggar dan menggugat hak wanita."

Di bawah sistem Arab Saudi, wanita tidak dibenarkan melakukan perjalanan tanpa mendapat kebenaran penjaga atau saudara lelaki.   -- Bernama

Apple, Google, Arab Saudi

Artikel Lain