suria

Tinggalkan bapa penghidap Alzheimer 70km dari rumah, akhirnya anak terima padah

UBASUTE, tradisi masyarakat Jepun meninggalkan warga tua atau ahli keluarga yang sakit di suatu tempat jauh nampaknya masih diamalkan di negara ini.

Namun, aspek kemanusiaan dan perundangan melihatnya sebagai kesalahan.

Susulan itu, baru-baru ini seorang wanita telah ditahan kerana disyaki meninggalkan bapanya yang berusia 79 tahun di hentian lebuh raya.

Ritsuko Tanaka, seorang penganggur berusia 46 tahun dari Otsu, di wilayah Shiga, ditangkap di rumahnya atas tuduhan mengabaikan tanggungjawab sebagai penjaga kepada bapanya yang menderita penyakit Alzheimer.

Menurut akhbar Mainichi, Tanaka meninggalkan bapanya di perhentian Lebuhraya Chugoku di pinggir Kobe pada jam 6.45 petang pada 22 November sebelum pulang ke rumahnya sejauh 70 kilometer.

Petugas di hentian yang melihat warga tua itu berayau-rayau dalam keadaan keliru telah menghubungi poli.

Pemeriksaan mendapati, lelaki tua itu tidak dapat mengingati namanya atau alamat rumahnya, tetapi berjaya mengingat nama anak perempuannya.

Tanaka dilaporkan mengakui melakukan perbuatan itu.

"Saya fikir lebih baik sekiranya dia masuk ke pusat jagaan selepas mendapat perlindungan polis daripada berada di bawah jagaan saya," demikian kata Tanaka.

Berdasarkan sejarah, ubasute adalah rumpun cerita rakyat Jepun dan muncul dalam puisi, cerita pendek dan seni.

Ia dikatakan berlaku dalam kalangan komuniti miskin di utara dan timur laut Jepun yang berjuang untuk hidup selepas penuaian, cuaca yang buruk atau sejenis bencana.

"Mereka perlu mengurangkan bilangan orang yang mereka perlu beri makan," kata Jun Okumura, penganalisis politik di Institut Hal Ehwal Global untuk Meiji.

Walaupun kes rekod terakhir seorang Eskimo ditinggalkan untuk mati adalah pada 1939, ada kejadian ubasute sebelum ini.

Pada Mac 2011, seorang lelaki berusia 63 tahun dari timur laut Jepun membawa kakaknya yang cacat, Sachiko, ke gunung di wilayah Chiba, timur Tokyo, dan meninggalkannya dengan makanan di situ.

Kurokawa berkata kakaknya 'menyusahkannya' selepas rumah mereka musnah dalam gempa bumi di Tohoku pada Mac 2011.

Sachiko dipercayai telah lemas di Sungai Obitsu tidak lama kemudian.

Kurokawa mengakui perbuatannya selepas ditangkap tiga tahun kemudian kerana memecahkan kotak sumbangan di sebuah kuil di Chiba.

Alzheimer, Tanaka

Artikel Lain