suria

Gara-gara ABCDE, syarikat penerbangan terpaksa mohon maaf

Abcde (kiri) bersama ibunya, Traci memfailkan aduan kerana tidak berpuas hati dengan perlakuan kakitangan syarikat penerbangan di AS.

USIANYA baru mencecah lima tahun dan sering menjadi bahan lawak kerana namanya hasil gabungan lima abjad pertama iaitu Abcde.

Kerana itu juga, syarikat penerbangan Southwest Airlines terpaksa memohon maaf selepas seorang kakitangannya didakwa mengejek kanak-kanak itu ketika pemeriksaan masuk penumpang ke pesawat  syarikat berkenaan.

Portal BBC melaporkan kejadian berlaku apabila Traci Redford dan anaknya, Abcde  dalam perjalanan pulang ke El Paso, Texas, dari Lapangan Terbang John Wayne di California.

Seorang kakitangan penerbangan itu mula ketawa dan merakamkan gambar pas masuk budak perempuan itu dan kemudian menyiarkannya di laman Facebook.

Kata Traci, salah seorang kakitangan bertugas yang memeriksa pas berlepas anaknya tiba-tiba ketawa.

"Dia kemudiannya menunjuk ke arah kami sambil bercakap dengan pekerja lain.

"Saya kemudian meminta mereka berhenti berbuat demikian," katanya sambil menegur perbuatan kakitangan syarikat penerbangan itu.

Susulan kejadian itu, beliau mengambil keputusan memfailkan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan itu.

Dalam pada itu, jurucakap Southwest Airlines, Chris Mainz berkata pihaknya secara ikhlas memohon maaf ke atas apa yang berlaku, dan menyatakan tindakan kakitangannya itu tidak mencerminkan imej syarikat penerbangan berkenaan yang menghormati pelanggan.

Abcde, Traci

Artikel Lain