suria

Pengurus pelik lelaki Jepun minta izin rompak kedai, akur permintaan ditolak dan serah diri

ORANG Jepun memang terkenal dengan adab dan sikap sopan santun mereka, tetapi satu insiden baru-baru ini mungkin dapat mengukur sejauh manakah tahap kesopanan mereka.

Seorang lelaki telah pergi ke sebuah kedai serbaneka baru-baru ini, bertanya kepada pengurusnya sama ada dia boleh merompak premis itu atau tidak.

Apabila permintaannya ditolak, dia terus meninggalkan kedai tersebut dan menyerah diri kepada polis.

Percubaan rompakan pelik ini berlaku pada 5 Oktober, di kedai serbaneka Lawson di Ogori City, Fukuoka, Jepun.

Menurut polis, lelaki yang tidak didedahkan namanya itu memasuki kedai tersebut sekitar pukul 1.40 pagi dan memberitahu pengurus: "Saya datang ni dengan niat mahu takutkan kami dan merompak kedai ini, bolehkah saya minta kamu bekerjasama dengan saya?."

Dia bagaimanapun tidak mendapat jawapan yang diharapkan, jadi dia terus berlalu pergi tanpa mengambil apa-apa barang atau wang.

"Saya tak boleh buat macam tu," pengurus kedai serbaneka yang terkejut dengan kesopanan perompak itu dilaporkan memberitahu lelaki berkenaan.

Kira-kira lima minit kemudian, dia berjalan ke balai polis berdekatan dan mengaku cuba melakukan rompakan.

Selepas menyiasat lelaki itu, pegawai menemui pisau dapur, tetapi tidak dikeluarkannya semasa meminta izin daripada pengurus kedai serbaneka untuk merompak.

Polis telah menuduh perompak sopan itu dengan cubaan untuk merompak, tetapi masih menyiasat motif jenayah itu. -Yahoo Japan

kedai serbaneka, rompak, Lawson

Artikel Sebelum

Meghan Markle disahkan hamil!

Artikel Lain