suria

Trak pikap langgar dinding sebelum terhumban 6 tingkat, pemandu sempat lompat keluar

-foto Facebook FM99.5

SEBUAH trak pikap terjunam pada ketinggian enam tingkat dari tempat letak kereta atas bangunan pejabat Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) di Bangkok, Thailand.

Pemandunya sempat menghumbankan dirinya di luar kenderaan pada waktu yang tepat sebelum kenderaannya jatuh terjunam.

Jiraphat Weerachartwattana, 58, baru saja tiba di tempat letak kereta itu selepas menyelesaikan permohonan lesen untuk menjual kosmetik, lapor Thairath.


Rakaman CCTV menunjukkan dia sudah masuk ke dalam kereta yang enjinnya sudah dihidupkan sebelum kereta itu berundur dan terjunam.

Weerachartwattana bagaimanapun sempat melompat keluar selepas keretanya berundur, melanggar dinding konkrit dan jatuh ke bawah. Dia hanya mengalami kecederaan ringan.

Seorang lagi wanita dalam video itu dapat dilihat telah pun mendekati tempat duduk penumpang, tetapi amat bernasib baik kerana belum sempat masuk ke dalam trak.

Nasib baik, tidak ada sesiapa di bahagian bawah ketika kereta itu terjatuh di kawasan semak bawah bangunan.

Weerachartwattana memberitahu polis bahawa dia terlupa meletakkan gear pada kedudukan 'P' sebelum mematikan enjin, menurut The Nation.

Bagaimanapun, setiausaha agung FDA Dr Tharet Kratnairawiwong berkata pentadbiran akan mengkaji semula kekuatan dinding konkrit tempat letak kereta mereka, lapor Khaosod.

Tharet menambah FDA tidak akan menuntut ganti rugi kepada lelaki tersebut.

Dia amat lega kerana tiada siapa yang cedera dalam kejadian itu. -coconuts

humban, parkir

Artikel Berikut

Gempa bumi 6.0 magnitud di Bali

Artikel Lain