Menantu buka pintu, bapa mertua terus 'terjun' dalam ruang lif - Dunia | mStar

Menantu buka pintu, bapa mertua terus 'terjun' dalam ruang lif

GUIZHOU: Seorang warga emas di Guizhou, China, maut selepas menantunya membuka pintu lif yang dikunci.

Insiden berlaku pada 24 September lalu, tetapi hanya tersebar di Weibo sejak Jumaat.

Dalam video itu, lelaki berkenaan dan menantunya dilihat sedang berdiri di depan dua pintu lif, menunggu salah satu lif tiba.

Menantu lelakinya yang dikenal pasti sebagai Zhou kemudian berjalan ke pintu lif kedua, membuka kuncinya, sebelum menguak pintu lif itu secara manual dengan tangan.

Tanpa sempat berkata apa-apa, bapa mertuanya terus berjalan melepasi pintu lif itu sebelum terjatuh ke dalam ruang lif yang kosong.

Zhou dilihat mahu cuba menolongnya tetapi gagal.

Rakaman itu berakhir dengan Zhou mengintai ke bawah ruang lif, sementara seorang pengawal keselamatan berlari ke arahnya dengan lampu suluh.

Rakaman ini mencetuskan tanda tanya orang ramai adakah bapa mertua Zhou dengan sengaja melangkah masuk atau Zhou cuba untuk membunuhnya.

Media Shanghaiist menyalahkan Zhou kerana bertindak melulu dan tidak sabar menunggu lif tiba.

Laporan oleh Sina, bagaimanapun, memberikan gambaran sebaliknya.

Menurut laman berita dan gaya hidup AsiaOne, Zhou memberitahu pemberita bahawa dia telah menyambut festival pertengahan musim gugur dengan bapa mertuanya di rumahnya di Guizhou.

Zhou berkata pada hari kejadian, bapa mertuanya meminta untuk melawat saudara-maranya yang tinggal di bangunan itu.

Semasa menunggu lif tiba, Zhou menyedari bahawa panel untuk salah satu lif itu tidak berfungsi, kerana dia tidak dapat melihat anak panah bernyala.

Zhou, yang juga seorang juruelektrik di sebuah syarikat pengurusan hartanah mendakwa secara kebetulan kediaman saudara-maranya itu adalah salah sebuah dari 'tempat kerjanya', menurut laporan Sina.

Jadi, dia memutuskan untuk cuba menyiasat masalah lif itu dan membuka kuncinya.

Zhou berkata: "Selepas membuka pintu itu, saya terus tengok ke bawah dan terlupa tentang bapa, saya tidak sedar dia berada di belakang saya."

Zhou berkata dia cuba menarik bapanya, tetapi gagal.

Menurut Sina, keluarga Zhou sedang berunding dengan pejabat pengurusan hartanah itu berhubung tindakan selanjutnya berhubung kes ini. - The Straits Times/Asia News Network

lif , pintu lif , lif rosak

Lebih Artikel