suria

Lelaki ditinggalkan kekasih kerana malu naik 'Porsche tipu'

SEORANG wanita naik angin dan mengadu di laman sosial tentang teman lelakinya yang menipu bahawa dia mempunyai  kereta Porsche Cayenne.

Sebaliknya, lelaki itu hanya mempunyai sebuah kereta buatan China yang harganya 10 kali lebih rendah berbanding Porsche Cayenne.

Berasa dirinya tertipu, dia terus memutuskan hubungan cinta yang terjalin dan mendedahkan tentang penipuan ini kepada umum.

Dalam satu siri posting di rangkaian media sosial China, Weibo, wanita muda ini menceritakan bagaimana rahsia teman lelakinya yang kononnya kaya-raya terbongkar.

Mereka bertemu lebih kurang dua minggu lalu di sebuah majlis, yang mana lelaki itu nampak sederhana dan tidak banyak berbual.

Walau bagaimanapun, ketika wanita itu mahu pulang, lelaki itu memberitahunya bahawa mereka tinggal di kawasan yang sama dan menawarkan untuk menghantarnya pulang.

Dia mengimbas kembali bagaimana dia terkejut melihat lelaki itu membawa kereta Porsche Cayenne yang berharga sekitar RM1 juta dan tertanya-tanya mengapa lelaki kaya sepertinya begitu sederhana dan tidak suka menonjolkan diri.

Dalam postingnya, wanita itu mengaku telah jatuh hati kepadanya selepas melihat kereta tersebut.

Kedua-dua mereke keluar beberapa kali selepas itu, termasuklah menonton wayang dan makan malam.

Di mata wanita itu, dia adalah seorang lelaki yang sempurna.

"Pada masa itu, saya fikir susah nak jumpa orang kaya yang merendah diri. Kerana kualiti yang unik ini, saya mula mengembangkan perasaan saya terhadap dirinya."

Bagaimanapun ada sesuatu yang pelik tentang kekasihnya yang kaya itu.

Walaupun memandu kereta mewah, dia hanya membawa wanita itu ke restoran bajet dan sering memakai pakaian murah yang mana dia sendiri mengaku membelinya di laman Taobao yang menjual pakaian serendah 100 yuan (RM60).

Tetapi wanita itu mendakwa sikapnya yang merendah diri lebih membuatkan dirinya tertarik dengan lelaki itu.

Dalam masa yang sama wanita itu suka menyiarkan foto dan video dengan teman lelakinya yang kaya tetapi merendah diri itu di akaun Weibo.

Pada suatu hari dia memutuskan untuk menayang kereta mewah kekasihnya dengan memuat naik video itu pada profilnya.

Walaupun ada yang mengucapkan tahniah kepadanya kerana mendapat teman lelaki kaya, seorang rakannya menulis ‘kereta itu bukan Porsche Cayenne!’.

Wanita itu terkejut dengan rakannya yang lantang memberi komen dan bertegas bahawa ia adalah kereta Porsche berdasarkan logonya.

Kawannya memberitahu bahawa kereta itu sebenarnya adalah kereta tempatan, Zotye, sebuah kereta yang menyerupai Porsche Cayenne dan teman lelakinya mungkin telah membeli logo palsu dalam talian.

Model baharu Zotye SR9 dijual sekitar RM73,000, dan pastinya tidak layak diklasifikasikan sebagai kereta mewah.

Marah dengan pendedahan rakannya, wanita itu memutuskan untuk menghubungi kekasihnya.

Dia bertanya berapa harga kereta itu kerana kononnya seorang rakan mahu membelinya juga dan ingin tahu diskaun diberikan atau tidak.

Lelaki itu menjawab bahawa dia telah membayar kira-kira RM730,000 untuk kereta itu yang menyebabkan wanita itu bertambah bengang.

Dia mula bertanya tentang perbezaan keretanya dengan kereta Porsche Cayenne yang dia pernah lihat, yang mana lelaki itu menjelaskan bahawa keretanya adalah model yang lebih baharu dan perbezaan adalah normal.

"Maksud kamu model baharu Zotye? Berhenti berpura-pura. Kawan saya dah beritahu saya kebenarannya. Kita putus!"

Sedar rahsianya terbongkar, lelaki itu bertanya kenapa wanita itu terlalu berlagak dan menuduh dia sentiasa mahu bermegah-megah dengan kemewahan.

"Saya suka menunjuk-nunjuk?,” tanya wanita itu.

"Kamu memang teruk. Kamu yang ubah suai kereta supaya kelihatan seperti Porsche! Berani kamu kata saya suka menunjuk! Kamu seorang lelaki jiik. Saya mungkin buta kerana mencintai kamu."

Wanita itu mendedahkan semua perbualannya serta gambar-gambar kereta lelaki itu dalam talian.

Katanya, dia mahu memberi amaran kepada wanita lain tentang lelaki berkereta ‘Porsche tipu’ yang menggunakan keretanya untuk menipu wanita dan membuatkan mereka tidur dengannya.

Porsche Cayenne, Zoyte

Artikel Berikut

Artikel Lain