suria

Lebih 500 staf, pelajar universiti dipindahkan kerana bau durian

LEBIH 500 orang terpaksa dipindahkan dari sebuah universiti di Melbourne, Australia gara-gara bau durian.

Kru perkhidmatan kecemasan yang memakai topeng pakar menjalankan 'carian komprehensif' di bangunan perpustakaan kampus universiti Royal Melbourne Institute of Technology pada petang Sabtu, selepas menerima laporan bau gas.

Pasukan Bomba Metropolitan Melbourne berkata pelajar dan kakitangan telah diminta meninggalkan bangunan itu 'sebagai langkah berjaga-jaga' ketika pasukan pemadam melakukan siasatan, kerana bangunan itu mungkin menyimpan bahan kimia berbahaya berdasarkan baunya.

Tetapi tiada sebarang bahan kimia ditemui, kecuali buah durian yang mempunyai bau kuat.

"Selepas melakukan carian komprehensif, anggota bomba mengesan bau itu bukanlah gas kimia, tetapi gas yang dihasilkan dari buah durian yang diletakkan di dalam almari," kata perkhidmatan itu dalam satu kenyataan.

Bau durian yang dikatakan busuk oleh sesetengah orang itu dikatakan meresap melalui sistem penghawa dingin.

Durian biasanya dilarang di seluruh hotel dan pengangkutan awam di seluruh Asia Tenggara. -The Independent


bau durian, gas bocor

Artikel Sebelum

Artikel Lain