suria

Warga emas kurang upaya terkejut caj parkir cecah RM4,824

Hamilton bergambar dengan resit parking yang dikenakan kepadanya. - MEN Media

SEORANG warga emas yang telah pencen dikenakan bayaran parkir sebanyak £880 (RM4,824) untuk tempoh tiga minggu dia meletakkan kenderaannya di sebuah lapangan terbang di United Kingdom (UK).

Hamilton McLean dan isterinya Denise dari Great Harwood, Lancashire terkejut ketika menerima resit parkir di Lapangan Terbang Manchester itu selepas kembali dari lawatan ke San Francisco di Amerika Syarikat.

Pasangan itu ke negara tersebut untuk melawat anaknya, Stuart.

Hamilton yang berusia 70 tahun berkata, dia terpaksa meletakkan kenderaannya di lapangan terbang tersebut selepas tempahan teksi yang dibuat terpaksa dibatalkan oleh syarikat terbabit disebabkan oleh salji yang teruk.

Lapor Daily Mail, Hamilton yang mahu mengejar penerbangannya tiada pilihan lain selain meletakkan kenderaan di tempat letak kereta bertingkat di lapangan terbang itu.

Warga emas itu yang merupakan orang kelainan upaya turut mengalami strok dan penyakit arthritis yang teruk.

Hamilton mengaku bahawa dia ada terfikir tentang caj parkir ketika dia berada di AS, sambil menambah: "Saya hanya memikirkan tentangnya sepanjang masa. Masa cuti saya terganggu disebabkannya."

Bagaimanapun, pihak pengurusan lapangan terbang itu mengambil keputusan untuk mengembalikan sebanyak £776 (RM4,254) kepada Hamilton atas sebab-sebab yang dikecualikan.

Kata jurucakap lapangan terbang itu: "Kami menasihatkan semua penumpang untuk menyemak lokasi tempat meletak kenderaan di tempat yang betul dan membuat tempahan awal untuk mendapatkan harga yang rendah."

Hamilton berkata, dia gembira dengan wang yang dipulangkan itu dan akan melakukan tempahan awal pada masa akan datang.

Lapangan Terbang Manchester

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain