suria

Tetamu mabuk masuk kolam buaya hilang tangan dibaham Sang Bedal

SEORANG tetamu majlis perkahwinan yang mabuk menempuh detik ngeri apabila dia berlumuran darah selepas melompat ke dalam kolam buaya.

Tangan Collin Miller, 21, dibaham sang bedal, sementara kepalanya pula tersepit di rahang buaya tersebut.

Collin tanpa diduga telah memecah masuk ke dalam sangkar buaya di Victoria Falls di Zimbabwe, Afrika Selatan ketika dia sedang mabuk.

Menakjubkan apabila pemuda itu berjaya menyelamatkan diri hidup-hidup selepas tiga ekor buaya berkenaan melepaskannya dan seorang pekerja serta seorang lagi lelaki kemudian menarik mangsa keluar ke tempat selamat.

The Chronicle Zimbabwe melaporkan bahawa insiden itu berlaku apabila sebuah kumpulan tiba ke kilang membuat arak yang turut mempunyai kolam buaya di premisnya.

Seorang saksi berkata, Miller masuk ke dapur Syarikat Brewing Victoria Falls River dan tiba-tiba terjun keluar dari tingkap.

Dia kemudiannya memanjat pagar dan masuk ke kolam buaya tersebut.

Orang awam yang ketakutan melihat kejadian itu mendakwa buaya tersebut kelihatan seperti 'berpesta makanan' dengan seekor daripadanya membaham tangan Collin dan seekor lagi mengapit kepala mangsa serta menggoyangkannya.

Nasib baik buaya yang cuba membaham kepala mangsa melepaskannya dan mengejar buaya lain yang lari bersama tangan Collin, membenarkan dua penyelamat yang berani untuk menarik mangsa keluar.

Buaya-buaya itu adalah sebahagian daripada tarikan pelancong di syarikat tersebut.

Media tempatan melaporkan, Collin dari Lusaka, Zambia pergi ke Victoria Falls selama beberapa hari sebelum majlis perkahwinan rakannya dan keluar minum bersama pada hari kejadian.

Seorang saksi berkata: "Collin kehilangan tangan dan rusuknya patah selain kecederaan pada bahagian kepada. Dia dikejarkan ke Afrika Selatan dengan segera."

Difahamkan, mangsa kini stabil di sebuah pusat kesihatan swasta di sempadan negara itu dan majlis perkahwinan tersebut tetap berlangsung dua hari kemudian di Victoria Falls. - Mirror UK

sang bedal, buaya, mabuk

Artikel Lain