suria

Awas! Intip telefon pasangan diharamkan di Arab Saudi

-Gambar hiasan

RIYADH: Mengintip telefon pasangan kini adalah satu jenayah di Arab Saudi yang boleh menyebabkan pesalah terpaksa meringkuk dalam penjara atau membayar denda sehingga AS$3,000, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kerajaan itu yang dikeluarkan pada Isnin.

Undang-Undang Anti-Jenayah Siber yang baharu menjenayahkan aktiviti seperti mengintip data yang dihantar menerusi komputer tanpa kebenaran, atau mengakses komputer dengan niat untuk mengancam atau memeras ugut mana-mana orang.

"Perkembangan media sosial telah menyebabkan peningkatan yang stabil dalam jenayah siber seperti peras ugut, penyelewengan dan fitnah, selain penggodaman akaun," menurut kenyataan itu.

Kerajaan berkata undang-undang itu bertujuan 'melindungi moral individu serta masyarakat selain melindungi privasi' dan akan terpakai kepada lelaki mahupun wanita.

Bagaimanapun, sesetengah pihak berpendapat bahawa ia pada akhirnya akan lebih melindungi golongan lelaki kerana undang-undang itu akan menjadikan keadaan lebih sukar bagi wanita membuktikan dakwaan berhubung penderaan atau persetubuhan rambang terhadap suami mereka.

Teknologi media sosial kini semakin popular di negara Arab.

Pada suku ketiga 2017, sejumlah 75 peratus daripada jumlah penduduk di negara itu adalah pengguna media sosial yang aktif.

Rangkaian sosial paling popular di negara itu ialah aplikasi mesej WhatsApp telefon bimbit dengan kadar penembusan sebanyak 71 peratus. -Bernama

intip telefon, Arab Saudi

Artikel Lain