'Kuasa' luar biasa, budak lelaki ini nyala lampu hanya dengan sentuhan! - Dunia | mStar

'Kuasa' luar biasa, budak lelaki ini nyala lampu hanya dengan sentuhan!

-foto Facebook

SEORANG budak lelaki telah menjadi sensasi media sosial selepas video dia menyalakan mentol lampu LED yang boleh dicas semula dengan hanya meletakkan lampu itu di mana-mana bahagian badannya tular.

Abu Thahir, 9, dari Kerala, India mendapati dirinya mempunyai kuasa luar biasa itu baru-baru ini, selepas pulang dari membeli mentol lampu LED tersebut bersama bapanya.

Bapanya, Nizar, yang merupakan seorang juruelektrik, memberitahu pemberita bahawa ketika dia memberikan lampu itu kepada anaknya, ia menyala di tangannya.

Pada mulanya, dia berfikir ia adalah satu bentuk 'gurauan', tetapi kemudian dia sedar bahawa mentol itu akan menyala apabila bahagian bawahnya menyentuh mana-mana bahagian badan anaknya.

-foto Facebook

Ibu saudara Thahir sangat kagum dengan kebolehan Thahir dan terus membuat rakaman dengan telefon pintar dan berkongsinya di media sosial.

Postingnya terus tular dan keluarga itu mula menerima panggilan daripada wartawan yang mahu menemubual dan merakamkan kebolehan luar biasa budak lelaki itu.

Bagaimanapun, dia nampaknya tidak sukakan populariti dan dilaporkan agak malu apabila menjadi 'selebriti' media sosial di India, sekali gus menjelaskan mengapa tidak ada rakaman berkualiti tinggi ketika dia sedang menyalakan mentol lampu.

Sesetengah sumber membuat spekulasi bahawa kekurangan bukti video mengenai 'kuasa' Abu Thahir seperti yang didakwa mungkin disebabkan ia cerita palsu.

"Tiada gambar dan video yang saya lihat menunjukkan seluruh tubuh budak lelaki itu, jadi secara teknikal mungkin arus elektrik rendah dibuat untuk memasuki badannya dan dia hanya bertindak sebagai konduktor," kata seorang pengguna media sosial.

Ada juga yang menyatakan bahawa mentol lampu itu sendiri telah dilakukan sesuatu dengan andaian bapanya mungkin telah memasang bateri kecil di dalamnya.

Walau bagaimanapun, seorang pakar, Joshy K Kuriakose memberitahu Manorama Online bahawa fenomena luar biasa ini mungkin disebabkan kandungan garam yang tinggi dalam badannya.

"Orang yang banyak berpeluh biasanya mempunyai kandungan garam yang tinggi dalam tubuh mereka. Jika tahapnya luar biasa tinggi," kata Kuriakose.

"Kandungan garam meningkatkan kekonduksian kulit. Ini dapat menjelaskan mengapa lampu LED menyala apabila ditekan pada badan Thahir," katanya.

Menariknya, Thahir tidak dapat menyalakan semua mentol lampu, sebaliknya hanya mampu melakukannya pada mentol LED yang boleh dicas semula.

Jika dia menekannya lama-lama, seluruh tubuhnya dikatakan akan mula panas.

Nazir benar-benar bangga dengan 'kuasa' anaknya, menganggapnya sebagai 'hadiah' dari Tuhan.

Bagi Thahir, dia tidak kisah untuk menghidupkan mentol lampu, tetapi dia tidak sukakan kemasyhuran gara-gara kemampuannya yang luar biasa.

Dia kini sedang menjalani hidup seperti biasa dan membuat persiapan peperiksaan di sekolah. -Manorama Online

mentol , sentuhan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

Artikel Lain