suria

Jadi Ahli Politik, Gaya Rambut Pasha (Ungu) Dikritik

-foto Instagram Mata Najwa

TIMBALAN Datuk Bandar Palu, Sigit Purnomo atau lebih dikenali sebagai Pasha (Ungu) adalah salah seorang ahli politik paling terkenal di Indonesia, terutamanya kerana kerjayanya masa lalu sebagai penyanyi kumpulan pop rock Ungu.

Walaupun sudah bergelar ahli politik, ternyata Pasha tidak sepenuhnya dapat 'lari' dari dunianya terdahulu, termasuklah dari segi gaya rambutnya.

Akaun Instagram rancangan bual bicara popular di Indonesia, Mata Najwa telah memuat naik posting mempromosikan episod mereka, yang mana beberapa pemuzik, termasuk Pasha, telah dijemput untuk berbincang tentang politik.

Walau bagaimanapun, netizen tertumpu kepada gaya rambut baharu Pasha yang 'hipster' sambil memakai pakaian seragam kakitangan awam.

Rata-rata mereka mengkritik tocang kecilnya itu dengan menyatakan ia tidak sesuai dengan imej seorang pegawai kerajaan.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, yang mengawal pentadbiran pemerintahan daerah, dilihat bersetuju dengan penilaian yang dilakukan orang awam terhadap Pasha.

"Secara etika, ada peraturan untuk berpakaian kemas sewaktu memakai pakaian seragam rasmi. Biasanya (rambut Pasha) tidak bertentangan dengan undang-undang, ia hanya melanggar etika tata cara berpakaian," kata Ketua Fasilitas Daerah di bawah Kementerian Dalam Negeri, Akmal Malik, memetik Detik.

"Kita akan tegur, ingatkan dulu, kerana itu sifatnya administratif," katanya.

Pasha belum membuat apa-apa kenyataan tentang gaya rambutnya, termasuk sama ada dia mahu atau telah mengubah apa yang dilakukannya berikutan kontroversi ini.

Ini bukan kali pertama bekas bintang pop ini mencetuskan kontroversi kerana penampilannya.

Tidak lama dulu, selepas dipilih sebagai Timbalan Datuk Bandar (Wakil Wali Kota) Palu, Sulawesi Utara pada 2016, dia dikritik kerana memakai jeans dan jaket bersama pingat polis dan tentera ketika bertugas, yang mana dia mencabar sesiapa sahaja untuk membentangkan bukti menyatakan pakaiannya menyalahi undang-undang.

Kontroversi lain termasuklah bersama dengan kumpulannya di pentas sambil memakai seragam kakitangan awam.

Bagaimanapun, dia tidak dikenakan tindakan kerana mendapat kebenaran bosnya, selain membuat persembahan bersama Ungu di Singapura, juga tidak dihukum kerana pertunjukan itu berlangsung pada hujung minggu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain