suria

Aset Tentera Indonesia Mula Ke Wilayah Terjejas Jerebu

Anggota tentera Indonesia mula menggerakkan aset ke wilayah yang terjejas akibat jerebu bagi menyelamatkan penduduk negara itu.

JAKARTA: Aset ketenteraan Indonesia kini dalam keadaan siapsiaga untuk menghantar topeng, khemah dan bekalan ubat kepada ribuan penduduk negara itu yang terjejas akibat jerebu.

Setakat ini, tiga kapal perang paling awal digerakkan susulan kesan yang semakin serius akibat kebakaran hutan di beberapa wilayah negara berkenaan terutama Kalimantan.

Tiga lagi kapal bersedia untuk dikerah sama ada ke Kalimantan atau ke Sumatera Selatan sementara lima lagi boleh dikerah jika diperlukan kemudian.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini menggunakan khidmat 30 pesawat untuk membantu memadamkan kebakaran dan kerja pembenihan awam di samping mengerah 22,000 anggota keselamatan menangani bencana itu yang dianggap terburuk sejak puluhan tahun lalu.

Jurucakap tentera Indonesia Tatang Sulaiman berkata, kapal berkenaan juga boleh dijadikan pusat pemindahan jika keadaan memerlukan.

"Rancangan juga diatur membabitkan pembinaan tempat perlindungan sementara, lengkap dengan pembersih udara dan katil jauh, dari kawasan yang terjejas jerebu.

“Kapal perang kami bersedia memindahkan penduduk ke pusat perlindungan sementara yang dibina. Kami juga bersedia menempatkan mangsa di kapal itu,” katanya.

Tatang berkata, kanak-kanak akan menjadi sasaran utama kerja pemindahan mangsa jerebu di samping mereka yang mengalami masalah pernafasan teruk.

Agensi pengurusan bencana Indonesia berkata, 10 orang mati setakat ini akibat pembakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera.

Sebahagiannya terbunuh ketika membantu kerja memadamkan kebakaran dan beberapa yang lain kerana pencemaran udara.

Agensi itu menganggarkan kira-kira 500,000 penduduk berdepan masalah kesukaran bernafas sejak kebakaran bermula Julai lalu.


Artikel Lain