suria

Rokok Seludup, Sentil Tembakau Dirampas Di Pusat Pemeriksaan Tuas

SINGAPURA: Pegawai Penguasa Imigresen  and  Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas mematahkan dua cubaan  menyeludup rokok dan sentil tembakau yang disembunyikan dalam ruangan diubah suai dalam dua buah bas yang didaftarkan di Malaysia.

Menurut ICA sebanyak 3,331 karton dan enam bungkusan rokok seludup serta 25,178 paket (226.6 kg) sentil tembakau dirampas dalam kedua-dua kes itu.

Jumlah duti dan Cukai Barang dan Perkhidmatan yang dielak dalam cubaan menyeludup itu masing-masing melebihi S$326,280 (S$1=RM3.05) dan S$29,410.

Dalam kes pertama pada kira-kira 5 pagi Sabtu lepas, sebuah bas yang dipandu oleh seorang lelaki warga Malaysia berusia 30 tahun diarah menjalani pemeriksaan lanjut setibanya di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Semasa pemeriksaan, pegawai penguasa menemui rokok seludup dalam ruangan khas yang diubah suai di bawah kenderaan itu.

Semasa pemeriksaan lanjut, lebih banyak rokok seludup ditemui di bawah tempat duduk penumpang di bahagian belakang, saluran penyaman udara yang diubah suai dan di ruangan bagasi yang diubah suai.

Sebanyak 2,750 karton rokok seludup dijumpai dalam bas itu.

Pada 4 petang Ahad pula, sebuah bas yang dipandu seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 38 tahun diarah untuk pemeriksaan rutin di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Sebanyak 581 karton dan 6 bungkusan rokok seludup serta 25,178 paket (226.6 kg) sentil tembakau dijumpai di dalam bas itu.

Kedua-dua pemandu itu serta barangan seludup dan kenderaan berkenaan diserahkan kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.

Pada Isnin, pemandu berusia 30 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 30 bulan manakala siasatan masih dijalankan bagi kes kedua membabitkan lelaki berusia 38 tahun itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain